Agong terima darjah tertinggi Turkiye

0
1

YANG di-Pertuan Agong berkenan menerima darjah tertinggi kerajaan Turkiye, Turkish Order of the State sempena Lawatan Negara ke negara itu semalam.

Menurut Istana Negara di Facebook rasminya, anugerah tertinggi disampaikan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan di Istana Presiden itu menjadikan Seri Paduka Baginda ketua negara ASEAN pertama menerima anugerah berprestij tersebut.

Seri Paduka Baginda antara lima pemimpin negara yang menerima pingat tersebut di bawah pimpinan Erdogan selain Raja Arab Saudi Raja Salman Abdul Aziz, Raja Belgium Raja Philip, Emir Kuwait Sheikh Sabah Al-Ahmad Al- Jaber Al-Sabah dan Presiden Tunisia Beji Caid Essebsi.

Sementara itu, dalam majlis sama, Seri Paduka Baginda turut berkenan mengurniakan anugerah darjah tertinggi negara Darjah Utama Seri Mahkota Negara (D.M.N) kepada Erdogan.

Darjah kebesaran D.M.N dikurniakan kepada Sultan atau Raja yang memerintah negeri namun darjah kebesaran itu juga boleh dikurniakan secara kehormat kepada warga asing serta orang paling dihormati.

Selain Erdogan, antara penerima kehormat luar negara pernah dikurniakan D.M.N sebelum ini antaranya Ratu Elizabeth, Emir Qatar Sheikh Hamad Khalifa Al-Tahni, Raja Arab Saudi Raja Salman Abdul Aziz dan isteri Sultan Brunei Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha.

Selepas pengurniaan anugerah itu, Seri Paduka Baginda kemudiannya berkenan menyaksikan Konsert Tradisional yang dihoskan Erdogan.

Turut mengiringi Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah serta anakanda baginda Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah dan Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah.

Terdahulu, Seri Paduka Baginda berdua berkenan menghadiri Jamuan Negara bersama Erdogan dan isteri Emine Erdogan di Istana Presiden selepas Sambutan Negara. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here