2.72 tan minyak masak paket bersubsidi dirampas

0
2

PEMANDU dan kelindan sebuah lori ditahan bersama 2.72 tan minyak masak paket bersubsidi yang dipercayai ingin diselewengkan ke negara jiran dalam satu operasi bersepadu di Kota Bharu petang semalam.

Operasi dijalankan pada jam 3 petang oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan bersama Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga, Pengkalan Kubor dan Tok Bali.

KPDNHEP Kelantan dalam satu kenyataan di laman Facebook rasminya hari ini, memaklumkan operasi itu dijalankan untuk membanteras ketirisan penyelewengan barang kawalan minyak masak bersubsidi kawasan sempadan negara.

“Pasukan telah mengesan sebuah lori jenis Isuzu berpendaftaran Malaysia dalam keadaan mencurigakan dari arah Pauh Lima menuju ke Peringat yang mana disyaki membawa minyak masak bersubsidi.

“Setelah mengekorinya pasukan bertindak jam 3.20 petang, menahan lori dan menerangkan tujuan pemeriksaan. Pemeriksaan lanjut menjumpai sejumlah besar minyak masak paket 1 kilogram (kg) bersubsidi dalam kenderaan itu,” katanya.

Menurut kenyataan itu, pemandu lori berkenaan gagal mengemukakan dokumen dan maklumat berkaitan pemilikan barang kawalan berkenaan.

“Pasukan mengesyaki suspek akan membawa barang kawalan ini ke stor transit sementara di sempadan negara melalui pengkalan haram.

“Sebanyak anggaran 2720 kg minyak masak paket 1kg bersubsidi dengan anggaran nilai rampasan sebanyak RM6,800 dan kenderaan sebanyak RM15,000.

“Dua lelaki tempatan membabitkan pemandu dan kelindan berusia 40-an dan 50-an ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya.

Menurut KPDNHEP Kelantan, kes berkenaan disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974 serta siasatan lanjut juga dijalankan keatas pemilik asal kenderaan dan punca barang kawalan yang diperolehi.

“KPDNHEP tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu atau peniaga yang melanggar undang-undang dan tindakan tegas akan diambil.

“Kerjasama bersepadu bersama agensi penguatkuasaan sempadan sentiasa dan kian giat dijalankan dari semasa ke semasa,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here