LCS: Anwar tak percaya tokoh politik tidak terlibat

0
1
anwar ibrahim

KETUA Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak percaya keputusan perolehan kapal tempur persisir (LCS) milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) melibatkan RM9 bilion, tiada penglibatan tokoh-tokoh politik.

Presiden PKR itu berkata, tindakan pantas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) menyiasat kontroversi pembinaan enam kapal LCS wajar dipuji namun jangan hanya mengambil tindakan tehadap orang bawahan sahaja.

“Saya ucap tahniah kerana SPRM memulakan (tindakan) tapi saya nak ingatkan, ini soal rakyat, bukan lagi soal dua tiga isu teknikal.

“Nak tekan, nak ambil tindakan jangan di peringkat bawah sahaja. Ya, kalau mereka bertanggungjawab, harus (dikenakan tindakan).

“Tapi saya tak percaya satu keputusan melibatkan bilion ringgit itu tidak melibatkan tokoh-tokoh politik besar,” katanya dalam klip video di Facebooknya.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, pendakwaan berhubung kes LCS di mahkamah semalam jelas membuktikan apa disuarakannya selama ini adalah benar.

“Ada beberapa kalangan ‘macai-macai’ nak pertahankan rasuah besar-besaran yang merompak harta rakyat.

“Ini tak boleh dipandang ringan, kalau dalam satu negara di mana rasuah besar mahu dipertahankan, kes 1MDB dipertahankan, kes LCS dipertahankan, seolah-olah tiada kecurangan berlaku,” katanya.

Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan turut membangkitkan persoalan kepada SPRM kenapa sekarang mahu menyiasat perkara itu.

“Saya mahu jawapan SPRM mengapa dilengahkan tindakan (selama) puluhan tahun terhadap Perdana Menteri, menteri kewangan dan menteri pertahanan yang bertanggungjawab,” katanya.

Semalam, bekas Pengarah Urusan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS), Tan Sri Ahmad Ramli Mohd Nor dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga pertuduhan pecah amanah dana syarikat itu berjumlah RM21.08 juta berhubung projek pembinaan LCS bagi perolehan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Ahmad Ramli, 78, yang juga bekas Panglima Tentera Laut mengaku tidak bersalah atas ketiga-tiga pertuduhan itu yang dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin.

Mengikut pertuduhan pertama, Ahmad Ramli sebagai pengarah urusan BNS yang diamanahkan dengan penguasaan dana syarikat itu telah melakukan pecah amanah ke atas harta tersebut dengan meluluskan pembayaran berjumlah RM13,541,140 ke akaun Syarikat Setaria Holding Limited, Standard Chartered Bank, 6 Battery RD, Singapura tanpa kelulusan Ahli Lembaga Pengarah BNS. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here