Zahid: Umno, BN tetap bersama Najib

0
1

RAKYAT, ahli dan pemimpin Barisan Nasional (BN) diajak bersolidariti bersama bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam perjuangannya dalam parti dan kes yang sedang dibicarakan.

Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata Ahli Parlimen Pekan itu berdepan cabaran sukar dalam rayuan kes SRC International Sdn Bhd di Mahkamah Persekutuan semalam.

Menurutnya, keputusan mahkamah menolak permohonan Najib untuk mengemukakan keterangan baharu dalam rayuan terakhirnya berhubung kes berkenaan adalah dihormati.

“Namun sebagai rakyat, ahli dan pemimpin parti keputusan tersebut tidak menghalang kami untuk terus bersama perjuangan beliau dalam parti dan kes yang sedang dibicarakan.

“Memang keadilan itu suatu perjalanan yang panjang. Malah terdapat ungkapan bahawa ‘there are three types of truth. Your truth, my truth and the truth. Truth Is God’s Word’.

“Marilah kita terus bersatu hati, bersolidariti bersama DS Najib Tun Razak. Jangan putus asa. Terus tabah dan terus berjuanglah bersama kita,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Ahmad Zahid berkata, terlalu banyak jasa dan sumbangan diberikan Najib untuk Umno, BN dan kerajaan BN yang tak akan dapat dilupuskan dalam sejarah negara.

“Ketika Pakatan Harapan (PH) memerintah 22 bulan, beliau (Najib) berjaya menangkis serangan terhadap Umno di kala Umno diperlekehkan dan cuba dikuburkan oleh musuh politik.

“Melalui media sosial Facebook beliau berjaya menjawab serangan pembangkang dan musuh dalam selimut dengan data dan fakta.

“Ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Melaka dan Johor beliau berkampung dan berkempen membantu kemenangan Umno/BN. Inilah Najib Razak yang kita hormati memperjuangkan Umno,” katanya.

Menurutnya, media sosial Najib juga sangat berpengaruh di negara ini dan beliau ialah ‘Raja Media Sosial’ serta berjaya membantu memulihkan Umno lebih cepat.

“Hinggakan mereka yang pernah menjauhi dan memperlekeh Umno sebelum ini dilihat bukan sahaja mahu mendekati malah mahu menguasai Umno pula sekarang.

“Insya-Allah kita di setiap akar umbi cawangan dan bahagian Umno dan BN akan terus bersama DS Najib Razak dan susah senang bersama. Kita bukan kacang lupakan kulit. Itulah persahabatan dan perjuangan sejati kita dalam Umno,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here