BN ‘fight’ habis-habisan kali ini – Ahmad Zahid

0
2

ANTARA faktor Barisan Nasional (BN) tewas dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) adalah kerana tidak mampu menguasai platform media sosial, kata Pengerusinya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menurutnya, BN gagal memanfaatkan saluran penyampaian maklumat yang cepat dan mudah itu untuk mengamit keyakinan pengundi terhadap parti gabungan berkenaan.

Beliau berkata, lawan BN pada waktu itu pula berjaya memanipulasi sepenuhnya platform berkenaan untuk melancarkan propaganda dan tohmahan mereka.

“Maka kita katakan pada mereka “no more drama”. Kini media sosial juga gelanggang BN. Seluruh jentera Wanita, Pemuda dan Puteri BN akan gempur.

“Kali ini kita akan ‘fight’ habis-habisan demi menyelamatkan rakyat dan negara daripada hasutan dan tohmahan mereka ‘with facts’ dan ‘with reality’.

“Justeru, saya berharap seluruh jentera BN memahami apa yang saya maksudkan dengan pendekatan baharu BN pada Konvensyen Wanita BN,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau yang juga Presiden Umno, berkata pendekatan baharu secara hibrid itu membabitkan dua komponen gerak kerja iaitu secara fizikal dan secara maya.

“Kaedah konvensional seperti perjumpaan secara fizikal dan mengedar risalah BN diteruskan, tetapi arena media sosial harus dikuasai.

“Menjelang PRU-15 lawan BN akan terus berusaha mereka-reka propaganda dan tohmahan baharu di media sosial untuk menanam kebencian dalam jiwa rakyat,” katanya.

Ahmad Zahid menggesa seluruh jentera BN bingkas menangkis tohmahan secara berfakta supaya persepsi negatif yang mahu pihak lawan naratifkan dapat diatasi.

Beliau turut memberikan beberapa tips yang mungkin berguna dalam menangkis pelbagai tomahan terhadap BN.

“Usah terkesan dengan cacian pasukan siber lawan mahu melemahkan mentaliti kita, sebaliknya terus istiqamah kepada fakta dan kebenaran yang ada pada kita.

“Jangan hanya berkongsi fakta dan kebenaran sesama kita, sebaliknya salurkan ia kepada setiap pengundi termasuk pengundi baharu dan pengundi atas pagar.

“Tumpukan penyaluran maklumat terhadap laman media sosial yang menjadi tumpuan masyarakat kerana amat penting maklumat itu sampai ke pengetahuan mereka,” katanya.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berharap usaha untuk memastikan kemakmuran dan kestabilan kembali di Malaysia oleh BN pada PRU-15 ini akan diberkati Allah SWT. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here