Lelaki ditahan kerana toreh muka rakan

0
1
Polis Di Raja Malaysia

SEORANG lelaki ditahan selepas dipercayai bergaduh dan menoreh muka kenalannya dengan pisau lipat dalam satu kejadian di padang bola jaring, Merdeka Villa Ampang, pada 10 Ogos lalu.

Lelaki terbabit ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya kira-kira jam 2 pagi tadi dalam satu serbuan di Semenyih, Kajang.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak, berkata dalam kejadian kira-kira jam 6 petang 10 Ogos lalu, mangsa telah dihubungi seorang lelaki yang mahu berbincang mengenai ganti rugi membabitkan kereta mangsa yang mengalami kemalangan ketika dipinjam suspek.

“Tiba di lokasi, mangsa dan suspek berbincang, namun suspek mengatakan tidak boleh membayar atas kerosakan kereta mangsa lalu mengajak bergaduh.

“Secara tiba-tiba suspek terus cuba menumbuk mangsa dan menoreh muka mangsa dengan menggunakan pisau kecil,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, susulan laporan yang dibuat mangsa polis membuat serbuan di alamat di Semenyih awal pagi tadi dan membuat tangkapan terhadap suspek berusia 24 tahun yang dipercayai terbabit dalam pergaduhan berkenaan.

“Suspek menyatakan pisau lipat yang digunakan semasa kejadian telah dibuang di sekitar tempat kejadian ketika melarikan diri.

“Semakan juga mendapati suspek mempunyai 11 rekod lampau kesalahan jenayah dan dadah, selain ujian awal saringan air kencing mendapati suspek disyaki positif dadah jenis ganja” katanya.

Menurutnya, punca kejadian adalah disebabkan selisih faham dan pertengkaran mulut antara mangsa dengan suspek serta suspek enggan membayar kos baiki kereta.

“Suspek dibawa ke Mahkamah Ampang hari ini bagi permohonan reman dan kes kini disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan menggunakan senjata.

“Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau kedua-duanya sekali,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here