Atlet Johor sumbang pingat di Sukan Sea, Komanwel terima habuan

0
2

INSENTIF yang diberikan kepada atlet yang mengharumkan nama negeri dan negara perlu dinilai semula, kata Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Menurutnya, beliau mengambil maklum berhubung perkara itu kerana insentif adalah sebagai usaha bagi merangsangkan lagi motivasi atlet serta menarik minat lebih ramai untuk berkecimpung dalam bidang sukan.

“Di Majlis Pemberian Insentif Kepada Atlet dan Belia malam tadi, saya juga mengambil maklum bahawa insentif yang diberikan kepada atlet perlu dilihat semula.

“Ini bagi merangsangkan lagi motivasi mereka serta menarik minat lebih ramai untuk berkecimpung dalam bidang sukan.

“Para belia juga tidak kurang pentingnya. Kerajaan negeri juga telah memberi peruntukan RM200,000 bagi pembangunannya menerusi Bantuan Kasih Bangsa Johor,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Terdahulu beliau beliau berjumpa atlet dan belia negeri Johor malam tadi serta mengucapkan tahniah kepada semua atlet Johor yang telah memenangi pingat di Sukan SEA Vietnam 2021 serta di Sukan Komanwel Birmingham 2022.

“Semoga kejayaan yang ditempa oleh atlet seperti Mohamad Aniq Kasdan, Ng Tze Yong, Muhammad Shah Firdaus Sahrom, Tan Kiang Meng, Ho Ying dan Tee Ai Xin dapat menyemarakkan lagi semangat juang atlet Johor lain untuk terus mengharumkan nama negara dan negeri.

“Mereka sesungguhnya adalah aset kita yang perlu terus digilap agar terus bersinar,” katanya.

Dalam majlis berkenaan seramai 40 atlet Johor menerima insentif daripada kerajaan negeri dengan keseluruhan berjumlah RM163,000 atas kejayaan mereka meraih pingat di Sukan SEA Vietnam 2021 dan Sukan Komanwel Birmingham 2022.

Seramai 26 atlet Johor menyumbang pingat di Sukan SEA di Vietnam, membabitkan tiga pingat emas, tujuh perak dan 15 gangsa dengan atlet meraih emas menerima insentif RM4,000, diikuti RM2,000 bagi perak dan RM1,500 gangsa.

Bagi Sukan Komanwel Birmingham pula, enam atlet Johor meraih dua emas, dua perak dan dua gangsa dengan insentif untuk emas berjumlah RM16,000, perak RM12,000 dan gangsa RM8,000 serta tambahan RM2,000 bagi insentif penyertaan.

Kejayaan Ng Tze Yong di Sukan Komanwel baru-baru ini membolehkannya meraih insentif sebanyak RM28,000 selepas meraih satu emas dan perak.

Manakala atlet angkat berat Mohamad Aniq Kasdan menerima RM18,000 apabila meraih pingat emas sulung negara di temasya itu.

Atlet berbasikal trek negara Muhammad Shah Firdaus meraih insentif keseluruhan RM10,000 bagi pingat gangsa sumbangannya dan penyertaannya di Sukan Komanwel Birmingham 2022. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here