SKUAD hoki negara melakar sejarah baru apabila berjaya menewaskan juara bertahan Iran 3-2 di penentuan ‘shoot-out’ dalam aksi final selepas terikat 4-4 untuk dinobatkan sebagai juara Kejohanan Hoki Dalam Dewan Piala Asia 2022 di Bangkok Thailand, semalam.
Kejayaan itu mendapat pujian dan ucapan tahniah daripada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Sejarah tercipta! Skuad hoki dalam dewan lelaki berjaya menewaskan Iran 3-2 di penentuan shoot-out selepas terikat 4-4 untuk dinobatkan sebagai juara Kejohanan Hoki Dalam Dewan Piala Asia 2022.
“Malaysia melakar sejarah baru menjuarai kejohanan ini buat kali pertama. Pemain kita mempamerkan aksi yang sangat baik untuk menyekat kejuaraan Iran. Tahniah!” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Beliau bagi pihak seluruh Keluarga Malaysia dan pasukan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Seri Ahmad Faizal Azumu dan timbalannya Datuk Seri Ti Lian Ker, merakamkan ucapan tahniah atas kejayaan itu.

“Ini kerana telah berusaha gigih mengharumkan nama Malaysia dan memastikan Jalur Gemilang berkibar megah,” katanya.
Sementara itu, Ah Faizal turut berbangga dengan kejayaan skuad hoki lelaki negara atas kejayaan itu.
“Pingat Emas menjadi milik skuad hoki Malaysia setelah berjaya menewaskan juara bertahan, Iran.
“Pencapaian yang amat membanggakan buat seluruh rakyat Malaysia. Teruskan perjuangan dan mencipta lebih banyak kejayaan pada kejohanan yang mendatang,” katanya. – Malaysiapost

