PENUBUHAN Puteri Barisan Nasional (BN) dilihat sebagai satu lagi pengiktirafan BN kepada golongan wanita muda dalam arena politik Malaysia.
Ketuanya Datuk Zahida Zarik Khan, berkata ia juga adalah sejarah baru dalam parti gabungan itu selaku sayap ‘bongsu’ BN.
“Terima kasih diucapkan secara rasmi Puteri BN diwujudkan selepas kami menyerahkan resolusi bersama Beliawanis MCA, Puteri MIC dan Puteri Kongres India Muslim (KIMMA) pada Konvensyen Puteri BN tempoh hari.
“Terima kasih Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan dewan tertinggi BN atas pelantikan sebagai Ketua Puteri BN,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Zahida berkata penubuhan Puteri BN adalah satu amanah, tanggungjawab dan pembakar semangat untuk wanita muda terus berjuang membantu parti memperkukuh sokongan anak muda kepada BN.
“Sama-sama kita pastikan BN menang dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) tak lama lagi dan kembali membentuk sebuah kerajaan yang stabil,” katanya.
Mesyuarat Agung Tahunan Dewan Tertinggi BN semalam yang dihadiri oleh Pengerusi, Timbalan Pengerusi, Presiden-Presiden Parti Komponen dan Ahli-Ahli Jawatankuasa Dewan Tertinggi antaranya telah bersetuju mewujudkan Puteri BN.
Penubuhan Puteri BN adalah bagi menyelaras pergerakan wanita muda di semua parti parti komponen berkenaan dan sehubungan itu, Zahida yang juga Puteri Umno dilantik sebagai Ketua Puteri BN. – Malaysiapost

