POLIS menyiasat berhubung dakwaan seorang kanak-kanak lelaki dipukul oleh guru tadikanya di sebuah tadika di Taman Megah Kepong, seperti video yang tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai, berkata pihaknya menerima laporan daripada ibu kanak-kanak terbabit pada jam 4.56 petang semalam.
Menurutnya, wanita tempatan berusia 33 tahun itu menyatakan semasa berada di rumah telah melihat rakaman video dalam satu hantaran di Facebook, memaparkan anak lelakinya yang berusia tiga tahun dipukul seorang wanita yang juga pengasuh di tadika berkenaan.
“Dalam hantaran itu jelas menunjukkan kanak-kanak berkenaan menangis selepas dipukul dengan kasar menggunakan tangan dan dipaksa makan sesuatu.
“Pengadu mengesahkan bahawa kanak-kanak di dalam video itu adalah anak lelakinya,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, hasil semakan polis mengesahkan terdapat dua video yang masing-masing berdurasi lima saat telah tular di media sosial berkaitan kejadian itu dan kejadian didapati berlaku pada Mei lalu.
Menurutnya, kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2001.
“Polis menasihati sesiapa sahaja yang mengetahui atau mengesyaki kanak-kanak dalam bahaya atau berisiko untuk didera dan diabai untuk melaporkan kepada polis.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat terhadap insiden ini boleh menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di talian 03-40482222,” katanya. – Malaysiapost

