Wan Saiful ‘meroyan’ selagi PN tak dapat jawatan dituntut

0
1

PERIKATAN Nasional (PN) akan sentiasa kecewa selagi tuntutan jawatan termasuk jawatan Timbalan Perdana Menteri tidak ditunaikan sehingga sanggup membuat desakan dan tomahan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ketua Penerangan Umno Shahril Sufian Hamdan, berkata selagi tidak dapat jawatan yang diidamkan PN masih akan mencari seribu satu alasan untuk biadap.

“Beberapa minggu yang lalu, PN bermesyuarat dan antara intipati mesyuarat adalah mereka kecewa dengan Perdana Menteri (PM).

“Kecewa bukan sebab mereka ada idea lebih baik untuk urus negara atau ekonomi. Kecewa bukan sebab soal apa-apa dasar yang boleh dibahaskan. Tetapi kecewa sebab jawatan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, susulan itu PM berjumpa wakil PN pada 4 Ogos 2022, namun Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan ‘meroyan’ mendakwa PM mesra ‘perasuah’ kerana ‘batalkan’ perjumpaan, walaupun sudah berjumpa wakil PN hari sebelumnya.

“Jadi perjumpaan sudah dibuat. PM telah pun keluarkan kenyataan selepas perjumpaan itu. Wakil PN utarakan pandangan mereka, PM pun utarakan pandangan beliau.

“PM tekankan sekarang masanya untuk menumpukan usaha menyelesaikan isu rakyat dan pulihkan ekonomi. Itu yang rakyat inginkan,” katanya.

Shahril berkata, Wan Saiful bagaimanapun meroyan lagi dengan medakwa perjumpaan PM dengan wakil PN ketika ‘lunch’ tidak dikira sebagai perjumpaan rasmi.

“Dahsyat syarat-syarat Bersatu ni. Saya ingin tanya Bersatu, apa sebenarnya yang mereka inginkan? Dibelai? Dimanjakan?

“Atau adakah hakikatnya ini bukan soal jumpa atau tidak jumpa. Bukan soal jumpa ‘lunch’ atau ‘dinner’ atau dalam pejabat sekalipun.

“Bukankah hakikatnya kalau jumpa 10 kali pun, delegasi mana sekalipun, jika tak dapat jawatan yang diidamkan masih akan mencari seribu satu alasan untuk biadap?” katanya.

Menurutnya, kebiadapan Wan Saiful hingga menuduh PM takut nak berjumpa PN, mengheret isu Kapal Tempur Pesisir (LCS) dan terbaharu mendakwa Ismail Sabri menipu rakyat tentang perjumpaan dengan PN.

“Pertama, rakyat tak kisah drama Bersatu dan (jawatan) TPM.

“Kedua, agak kelakar soal tipu rakyat ini datang dari pengarang manifesto Pakatan Harapan (PH),” katanya.

Wan Saiful semalam, mendakwa Perdana Menteri menipu mengenai pertemuan dengan delegasi PN yang menurutnya ia bukan perjumpaan rasmi sebaliknya pertemuan ketika makan tengah hari secara santai. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here