Umno, BN kena tawan banyak kerusi, elak jadi pengemis tubuh kerajaan 

0
3

UMNO dan Barisan Nasional (BN) mesti menang besar pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi mengelak mengemis daripada parti lain untuk menubuhkan kerajaan.  

Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata parti itu perlu bekerja keras bagi memastikan BN menang besar pada PRU15 nanti.  

“Kalau menang selesa kita akan tubuh kerajaan secara solo tanpa minta sedekah kepada sesiapa,” katanya memetik laporan Sinar Harian.  

Mohamad yang juga Pengarah Pilihan Raya BN berkata, keyakinan untuk menang dalam PRU15 memang tinggi namun tidak menafikan parti itu perlu bekerja keras untuk meraih lebih banyak kerusi. 

Mohamad juga berkata, BN sedia bekerjasama kepada parti yang boleh memberi keuntungan kepadanya apabila selesai PRU15.  

”Nak berunding buat lepas pilihan raya. Lepas PRU-15 kami akan lihat hala tuju kompas mana nak tubuh kerajaan dengan siapa yang beri keuntungan kepada kita,” katanya.  

Pada masa sama, Mohamad memberi nasihat agar segala permasalahan dalaman parti dapat diselesaikan sebelum menghadapi PRU15.  

“Saya terhidu banyak perbalahan di Terengganu. Jangan disebabkan seekor dua kerbau buat lumpur, semua terpalit. 

“Saya tidak mahu lagi ada dalam kalangan kita yang berebut jawatan dalam parti dan budaya ‘cah keting’. 

“Fokus kita di Terengganu adalah untuk kekalkan 10 kerusi menang dan tawan semula 12 kerusi yang kita kalah,” katanya.  

Sementara itu, mengulas mengenai permohonan Parti Bangsa Malaysia (PBM) untuk menyertai BN, Mohamad memaklumkan perkara itu masih belum diputuskan. 

Jelasnya, BN sedia maklum mengenai perkara tersebut dan akan diputuskan dalam mesyuarat Isnin nanti. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here