HANYA sekali lafaz, penyanyi Aizat Amdan selamat bergelar suami kepada pengurusnya, Elyssa Alia Illias dalam majlis pernikahan yang berlangsung di A Park, Puchong, pagi ini.
Bapa pengantin perempuan, Leftenan Kolonel (B) Illias Moidean menikahkan Aizat sambil disaksikan jurunikah Idrus Mohd Shahlan.
Aizat menyerahkan mas kahwin sebanyak RM300 kepada Elyssa, 34, manakala wang hantaran dirahsiakan jumlahnya.
Pada majlis itu, pihak pengantin lelaki menyerahkan tiga dulang hantaran dan dibalas lima dulang daripada pengantin perempuan.
Pasangan ini turut diraikan dalam majlis kenduri di lokasi sama.
Aizat atau Muhammad Aizat Amdan, 33, ketika ditemui meluahkan rasa syukur majlis pernikahannya berjalan lancar seperti dirancang.
Aizat turut menganggap perkahwinannya dengan Elyssa sebagai permulaan baharu dalam hidupnya sebagai seorang lelaki.
“Syukur semuanya berjalan lancar. Keluarga dapat berkumpul dan majlis dijalankan seperti dirancang.
“Ini fasa baharu dalam hidup kami. Selepas ini apa sahaja tindakan dah tak boleh fikir untuk diri sendiri sahaja. Saya ada isteri dan perlu minta persetujuaan bersama,” katanya dipetik MStar. – Malaysiapost

