PAS Kedah membayangkan bakal menawan sekurang-kurangnya 22 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).
Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata keyakinan menambah jumlah kerusi dimenangi berbanding 15 pada PRU14 lalu, berdasarkan kedudukan PAS di negeri itu yang dilihat semakin kukuh dan kuat.
“Saya tambah jadi 22 (kerusi boleh dimenangi PAS Kedah), paling kurang 22 (daripada 15 kerusi dimenangi sebelum ini). Pada asasnya, PAS tengah kuat di Kedah, harimau (Umno) yang kena tembak sedaih (sekali) rebah, lepas itu nak bangkit (bangun), dia tak sekuat dulu kalau dia nak lawanlah,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas pelancaran jentera pilihan raya PAS Kedah yang disempurnakan Mursyidul Am, Datuk Hashim Jasin dan turut dihadiri Pesuruhjaya PAS negeri, Datuk Ahmad Yahaya di Naka, malam tadi.
Justeru, Muhammad Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah berkata, PAS sedia menumpangkan kekuatannya kepada Umno jika parti itu berminat menjalin kerjasama.
“Kalau dia nak berkawan, dia boleh tumpang kuat kita tu, dia nak lawan, saya rasa dia tak segagah dulu. Ada pelurulah dalam badan dia, kaki dia pun pecah tiga empat dah,” katanya.
PAS kini menyandang 15 daripada 36 kerusi DUN dan mengetuai kerajaan Perikatan Nasional (PN) Kedah bersama Bersatu yang mempunyai enam kerusi berbanding Umno yabg hanya menang dua kerusi pada PRU14.
Muhammad Sanusi menjelaskan, PAS tidak pernah mengkhianati Umno dan masih memberi ruang kepada parti itu walaupun terdapat kepemimpinan Umno membuat keputusan untuk bergerak solo pada PRU15.
“Kita tak buat apa-apa yang boleh sebabkan PAS dan Umno di Kedah bergaduh, berkelahi. Apa kita ucap di Johor (semasa kempen pilihan raya negeri), itu dalam konteks negeri Johor. Malam ini saya sebutkan betapa baiknya PAS dalam (menjaga) hubungan dengan Barisan Nasional (BN), dengan Umno.
“Ini kerana kita ada disiplin. Contohnya kita masih minta Umno beri nama calon mereka untuk gantikan Penyelaras DUN Kubang Rotan, Datuk Hashim Jahaya yang meninggal dunia (pada 7 Mei lalu).
“Mereka berikan nama Timbalan Ketua Umno Bahagian Kuala Kedah, Dr Zaki Zamani Abd Rashid untuk ganti, sedangkan kita boleh ganti dengan orang PAS atau Bersatu, tapi itulah kesetiaan kita kepada setiap kawan, ini yang Islam ajar kita,” katanya. – Malaysiapost

