Wan Saiful intai kerusi Kubang Pasu PRU15

0
3

DATUK Wan Saiful Wan Jan mengesahkan sedang mengintai untuk bertanding di kerusi Parlimen Kubang Pasu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Bagaimanapun, Ketua Penerangan Bersatu itu berkata, hasratnya itu diserahkan kepada pucuk pimpinan partinya dalam menentukan kedudukannya di Parlimen berkenaan. 

Wan Saiful berkata, beliau adalah ahli Bersatu Kubang Pasu dan telah menggerakkan jentera parti di bahagian itu untuk memastikan dapat merampas kawasan Parlimen itu pada PRU15 akan datang.

“Bahagian saya di Kubang Pasu dan saya akan bantu jentera Bersatu di Kubang Pasu dan sudah tentu minat saya di Parlimen itu.

“Saya buat kerja di situ dan sedia bertanding di (Parlimen) Kubang Pasu,” katanya dipetik Utusan Malaysia selepas mengadakan perjumpaan tertutup penerangan Bersatu di Marang, Terengganu, semalam.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu, kerusi Parlimen Kubang Pasu dimenangi Datuk Ir Amiruddin Hamzah atas tiket Bersatu yang kemudiannya telah menyertai Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang). 

Amiruddin menang Parlimen Kubang Pasu dengan majoriti sebanyak 13,009 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Johari Baharom (16,975 undi) dan calon PAS, Norhafiza Fadzil (13,375 undi).

Menjelaskan mengenainya, Wan Saiful berkata, beliau akan akur apa sahaja keputusan pucuk pimpinan Bersatu yang mungkin memutuskan siapa bakal calon Bersatu di kerusi itu berdasarkan data yang dimiliki. 

Bagaimanapun, beliau berkata, penentuan calon di Parlimen itu juga akan dibincangkan dengan PAS sebagai rakan dalam Perikatan Nasional (PN). – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here