BANK Negara Malaysia (BNM) memandang serius sebarang insiden yang boleh menjejaskan keyakinan terhadap sistem pembayaran dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan penyeliaan atau penguatkuasaan yang sewajarnya.
Dalam satu kenyataan hari ini, BNM menegaskan tindakan itu bagi memastikan kawalan keselamatan yang kukuh dilaksanakan dan diamalkan oleh institusi kewangan serta memastikan pelanggan mendapat layanan yang adil.
Merujuk kepada kemungkinan insiden pencerobohan data yang diumumkan iPay88 (M) Sdn Bhd iaitu sebuah syarikat penyedia perkhidmatan gerbang pembayaran kepada institusi perbankan dan peniaga, BNM juga menegaskan siasatan forensik masih dijalankan.
“Pencerobohan tersebut hanya berpunca daripada dan terbatas pada sistem pembayaran kad iPay88 dan tidak melibatkan kelemahan dalam sistem institusi perbankan.
“Institusi kewangan di Malaysia juga mengamalkan kaedah pengesahan yang mantap bagi transaksi kad secara dalam talian, termasuk memaklumkan pemegang kad dengan segera untuk pengesahan lanjut apabila terdapat transaksi yang dianggap lebih berisiko bagi mengurangkan risiko berlakunya penipuan transaksi,” menurut kenyataan itu.
Menurut BNM, bagi transaksi yang tidak menggunakan pengesahan, khususnya pembelian daripada peniaga di luar negara, pelanggan tidak akan dipertanggungjawabkan untuk sebarang penipuan transaksi atau transaksi tanpa kebenaran yang mungkin terjadi susulan insiden berkenaan.
“Berikutan insiden itu, BNM telah mengarahkan bank-bank untuk segera memaklumkan pemegang kad yang terlibat tentang langkah-langkah perlindungan tambahan yang akan diambil untuk terus melindungi pengguna daripada risiko penipuan transaksi atau transaksi tanpa kebenaran.
“Bank-bank juga telah mempertingkatkan pengurusan risiko penipuan serta memantau aktiviti yang mencurigakan atau aktiviti penipuan yang menggunakan kad-kad yang terlibat,” katanya.
BNM turut menasihatkan pelanggan untuk segera memaklumkan kepada bank mereka jika terdapat transaksi luar daripada kebiasaan atau transaksi tanpa kebenaran yang menggunakan kad mereka.
“Untuk maklumat lanjut atau aduan, orang ramai boleh menghubungi BNMTELELINK melalui 1-300-88-5465 atau https://telelink.bnm.gov.my,” katanya. – Malaysiapost

