MALAYSIA dan Republik Maldives melaksanakan Perjanjian Pengiktirafan Bersama (MRA) yang sekali gus membolehkan kedua-dua negara terus menggunakan Lesen Memandu domestik negara masing-masing, berkuatkuasa 12 September ini.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata menerusi MRA itu pemanduan kenderaan bermotor di kedua-dua negara tidak lagi perlu melalui proses bagi mendapatkan atau membuat sebarang pertukaran lesen memandu.
“Malaysia dan Republik Maldives akan mendapat pengiktirafan bersama lesen memandu domestik yang dikeluarkan oleh setiap negara, berkuatkuasa mulai 12 September.
“Ini merupakan Perjanjian Pengiktirafan Bersama (MRA) dua hala pertama Malaysia dengan negara asing,” katanya menerusi Facebook.
Beliau berkata, selain memberi kemudahan kepada rakyat kedua-dua negara, MRA ini juga dapat menyumbang kepada pembangunan sektor sosial dan ekonomi Malaysia serta Republik Maldives.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Menteri Pengangkutan dan Penerbangan Awam Maldives Aishath Nahula kerana sudi hadir untuk menandatangani MRA bersama saya di Kementerian Pengangkutan (MOT) hari ini.
“Saya amat berbesar hati mengalu-alukan kedatangan beliau dan delegasi termasuk Timbalannya, Ahmed Zuhair serta Timbalan Pesuruhjaya Tinggi Maldives ke Malaysia, Uz Mariyam Mizna Shareef.
“Selepas menandatangani perjanjian tersebut, kami mengadakan majlis resepsi untuk mereka di sebuah restoran di Putrajaya,” katanya.
Dalam pada itu Ka Siong berkata, Malaysia berharap akan mempunyai lebih banyak peluang untuk bekerjasama dengan Maldives khususnya dalam sektor pengangkutan. – Malaysiapost

