Zaid nafi firma guaman tarik diri wakili Najib 

0
1

FIRMA Guaman Zaid Ibrahim Suflan TH Liew & Partners yang mewakili Datuk Seri Najib Razak menafikan dakwaan akan menarik diri daripada mewakili bekas Perdana Menteri itu jika Mahkamah Persekutuan terus mendengar rayuan kes melibatkan dana SRC International Sdn Bhd, Isnin ini. 

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mohd Zaid Ibrahim dalam kenyataannya berkata firma beliau tidak akan meninggalkan anak guam, lapor Berita Harian. 

Katanya, firma guamannya bersetuju mengambil kes itu kerana Najib mempunyai rungutan yang sah berhubung sabitannya, khususnya berkaitan kedaulatan undang-undang dan undang-undang yang berkaitan dengan berat sebelah dan konflik kepentingan.   

“Sebagai peguam, menjadi tugas kami untuk mewakili kes anak guam dengan sebaiknya. 

“Jangkaan sah Najib adalah beliau akan mendapat perbicaraan penuh dan adil di Mahkamah Persekutuan. Oleh itu, tugas kami sebagai peguam bela adalah untuk membolehkan proses itu,” katanya. 

Bagaimanapun dalam berbuat demikian, katanya, beliau kesal serangan keji dilemparkan kepadanya secara peribadi dan firma guamannya.  

Beliau merujuk sindiran Ahli Parlimen Sepang, Mohamed Hanipa Maidin yang menyatakan peguam mengambil kes di saat-saat akhirnya adalah bermotifkan wang. 

Katanya, satu lagi kritikan dilemparkan terhadap Najib dan firma guaman beliau adalah pelantikan itu satu cubaan untuk melengahkan rayuan.  

“Jawapan kepada perkara itu adalah saya menyuruh pengkritik untuk membandingkan kes ini dengan kes berprofil tinggi yang lain. 

“Tidak dapat dinafikan bahawa kes ini mengambil masa yang kurang untuk sampai ke tahap ini. Pengkritik yang angkuh akan tahu kes siapa yang saya maksudkan,” katanya sambil menambah ini kali pertama Najib menukar pasukan pembelaan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here