BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mempertahan kenyataan bahawa projek pembinaan kapal tempur pesisir pantai (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dihentikan sepenuhnya ketika zaman Pakatan Harapan (PH) memerintah.
Sehubungan itu, Najib turut membidas tuduhan Pakatan Harapan (PH) dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berhubung perkara itu.
“Langsung tak guna akal, PH ini. Saya jawab tuduhan Syed Saddiq bahawa projek telah terhenti pada April 2022. Bahawa projek masih berjalan masuk ke zaman PH.
“Tetapi dihentikan dalam masa PH. Benda simple ini pun tak faham? Atau sengaja nak tipu orang?,” soal Najib menerusi Facebook.
Jelas Najib lagi, malah perkara ini sudah diakui dua bekas menteri PH iaitu Mohamad Sabu dan Liew Chin Tong bahawa tuduhan Syed Saddiq adalah fitnah.
“Ini kerana mereka berdua pernah merasmikan dan meninjau projek tersebut dan ianya juga pernah dilapor pada bulan Mei 2022 ketika projek disambung semula oleh kerajaan hari ini.
“Susah sangat ke untuk mengaku bahawa projek LCS dihentikan sepenuhnya ketika kerajaan PH memerintah?,” katanya.
Sebelum ini, Syed Saddiq menafikan dakwaan bahawa projek pembinaan LCS dihentikan ketika zaman PH memerintah selain menyifatkannya sebagai satu tohmahan tidak masuk akal.
“Nak salahkan PH pun kena lah masuk akal. Dikatakan PH yang hentikan projek LCS selepas menang PRU14.
“Disebabkan BNS (Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd) gagal bayar, Original Equipment Manufacturer (OEM) berhenti kerja mereka. Keadaan kewangan BNS pun di sahkan ‘lemah dan kritikal disebabkan salah guna kuasa dan kepincangan dalam pengurusan kewangan’,” katanya.
Isnin lalu, Syed Saddiq turut mencabar Najib supaya memberi penjelasan berhubung isu projek LCS di Parlimen.
Beliau berkata, Najib seharusnya membuat kenyataan rasmi di hadapan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dan Dewan Rakyat, bukannya menjawab melalui media sosial seperti Facebook. – Malaysiapost

