SEMUA sekolah di seluruh negara diarah melakukan pemeriksaan terhadap tangki air supaya insiden yang menimpa Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Melor, Ketereh, Kelantan semalam tidak berulang.
Timbalan Menteri Pendidikan 1 Datuk Dr Mah Hang Soon, berkata seluruh sekolah juga diarahkan untuk melakukan pemeriksaan ke atas semua infrastruktur lain terutama yang sudah uzur.

Menurutnya, sekiranya terdapat binaan yang dirasakan tidak selamat atau berkemungkinan akan mengancam keselamatan murid, pihak sekolah diminta untuk segera melaporkan kepada pihak berkuasa.
“ Kementerian Pendidikan (KPM) memandang serius isu berkenaan dan siasatan sedang dijalankan bagi mengambil tindakan perlu bagi menanganinya daripada berulang.
“Namun yang utama ketika ini adalah untuk mengambil langkah-langkah pencegahan. Selepas itu, sekiranya berlaku insiden yang tidak dijangka, kita akan mengambil langkah seterusnya untuk menyiasat,” katanya seperti dilaporkan Astro Awani.
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media selepas Majlis Pecah Tanah Pembinaan Dewan Terbuka Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjong Malim, hari ini.
Semalam media melaporkan tangki air di SMK Melor pecah lalu menimpa laluan pejalan kaki dan mengakibatkan lima pelajar cedera dengan dua daripadanya masih menerima rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM).
Hang Soon menegaskan KPM sentiasa menekankan aspek keselamatan murid dan pelajar terutama dalam kawasan sekolah.
“Kita memandang serius dan amat menitikberatkan keselamatan anak-anak murid kita ini dan tindakan-tindakan sesuai telah diambil semua pihak.
“Ini bagi memastikan penyelenggaraan tangki air di sekolah tersebut dapat kita lakukan dalam waktu terdekat,” katanya. – Malaysiapost

