Gobi Krishnan bukan lagi Ahli Lembaga Pelesenan WPKL – Shahidan

0
1

LANTIKAN bekas Ketua Penerangan Sayap Bersekutu Bersatu, S Gobi Krishnan sebagai  Ahli Lembaga Pelesenan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) sudah dibatalkan sejak 4 Ogos lalu.

Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim, berkata pembatalan itu bertujuan bagi meneruskan kesinambungan perkhidmatan yang terbaik di WPKL.

Beliau berkata, tindakan itu susulan semakan mendapati Gobi Krishnan telah berstatus bankrap berkuat kuasa mulai pada 7 Januari 2021.

“Gobi Krishnan telah dilantik sebagai Ahli Lembaga Pelesenan WPKL berkuat kuasa mulai 20 Julai 2021 hingga 19 Julai 2023.

“Ini adalah berdasarkan Perwakilan Kuasa yang dibuat di bawah Seksyen 86 Akta Eksais 1976 [Akta 176] yang telah pun diwartakan melalui P.U. (B) 359/2014 pada 24 Julai 2014.

“Dalam hal ini, Menteri Kewangan telah mewakilkan kuasanya di bawah seksyen 31 Akta 176 kepada Menteri Wilayah Persekutuan untuk menubuhkan Lembaga Pelesenan dan melantik ahli Lembaga Pelesenan bagi Wilayah Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau merujuk kepada laporan media mengenai tuntutan penjelasan daripada parti MIC berhubung lantikan  Gobi Krishnan telah berstatus bankrap sebagai Ahli Lembaga Pelesenan WPKL.

Menjelaskannya, Shahidan berkata pada 3 Ogos lalu, kementeriannya telah membuat carian kebankrapan daripada Jabatan Insolvensi Malaysia, yang mana keputusan yang diterima mengesahkan Gobi Krishnan telah berstatus bankrap.

“Berdasarkan semakan undang-undang yang dibuat oleh kementerian ini, adalah didapati walaupun telah berstatus bankrap, pelantikan beliau bagi tempoh 20 Julai 2021 hingga 3 Ogos 2022 adalah teratur serta tidak melanggar mana-mana undang-undang dan peraturan. 

“Akta 176 tidak memperuntukkan bahawa seseorang yang bankrap tidak boleh dilantik menjadi Ahli Lembaga Pelesenan. Akta tersebut juga tidak memperuntukkan bahawa jawatan itu secara automatiknya menjadi kosong jika Ahli Lembaga Pelesenan berstatus bankrap.

“Meskipun begitu, bagi meneruskan kesinambungan perkhidmatan yang terbaik di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, saya telah pun membatalkan pelantikan beliau sebagai Ahli Lembaga Pelesenan WPKL berkuatkuasa 4 Ogos 2022,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here