Sanusi nafi persoal JDT masuk final

0
2

MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menafikan beliau mempersoalkan kejayaan Johor Darul Ta’zim (JDT) mara ke perlawanan akhir Piala FA.

Ia susulan tular tangkap layar tajuk berita “Asyik-asyik pasukan itu saja yang masuk final – Sanusi”.

“Pandai hangpa edit nooo. Akhir zaman ni mudah ja nak buat dosa. Edit tulisan, boh (letak) gambaq. Jadilah ia berita palsu yang membawa fitnah bersulam dosa,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Muhammad Sanusi yang juga Presiden Kedah Darul Aman FC turut berkongsi kisah seorang ulama yang ditanyakan tentang dosa fitnah.

“Ada seorang pemfitnah datang berjumpa seorang ulama. Lalu diberitahu ulama itu akan dosanya yang membuat fitnah. Pemfitnah itu memberitahu bahawa ia telah memohon maaf. Adakah permohonan maafnya itu mampu memadam dosanya?

“Lalu jawab ulama tersebut, bagaimana jika kamu berjalan sambil menyebarkan bulu-bulu binatang bertebaran di sepanjang jalan. Mampukah kamu mengutip kembali semua bulu-bulu itu kembali semuanya satu persatu?

“Begitulah juga dengan berita fitnah. Walaupun pemfitnah itu telah memohon maaf, namun berita fitnahnya telah bertebaran merata tempat sehingga ia tidak mampu memperbetulkannya kembali.

“Lebih baik tertomos sebab main ragbi daripada tertomos sebab buat berita fitnah,” katanya.

Final Piala FA 2022 bakal menemukan JDT dan Terengganu FC. – Malaysiapost

Kredit foto: BH Online

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here