Pekerja Bangladesh masuk Malaysia secara berperingkat mulai hari ini – Saravanan

0
1

MALAYSIA menerima kemasukan kumpulan pertama pekerja warga Bangladesh pagi ini, kata Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan.

Beliau berkata, Suruhanjaya Tinggi Bangladesh minggu lalu juga mengesahkan (attestation) permohonan daripada 80 majikan tempatan yang melibatkan penggajian seramai 6,000 warga Bangladesh.

Sehubungan itu, katanya, pekerja warga Bangladesh dijangka masuk ke Malaysia secara berperingkat mulai hari ini.

“Kemasukan ini susulan Memorandum Persefahaman (MoU) Mengenai Penggajian Pekerja Warga Bangladesh yang telah ditandatangani kedua-dua negara pada 19 Disember 2021.

“Ketibaan pekerja ini disambut oleh TYT Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh di Malaysia dan kumpulan pekerja ini akan digajikan untuk sektor pembuatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Saravanan berkata, bagi majikan yang telah membuat bayaran levi kepada Jabatan Imigresen Malaysia dan bercadang untuk menggaji pekerja warga Bangladesh, mereka boleh memohon pengesahan (attestation) penggajian dan dokumentasi seperti kontrak pekerjaan serta pesanan kerja ke Suruhanjaya Tinggi Bangladesh di Malaysia.

Sebelum ini, Kementerian Sumber Manusia (KSM) memaklumkan proses berkaitan pengambilan pekerja warga asing dari Bangladesh sudah bermula dengan permulaan sebanyak 2,000 pekerja akan dibawa masuk.

Katanya, proses membawa masuk pekerja warga Bangladesh itu turut mendapat kerjasama Suruhanjaya Tinggi Bangladesh di Kuala Lumpur. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here