SEBAHAGIAN besar rakyat amat merindui pentadbiran dominan kerajaan Barisan Nasional (BN) kerana parti itu adalah harapan sebenar mereka, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Pengerusi BN itu berkata, adalah menjadi tanggungjawab gabungan itu untuk memenuhi aspirasi rakyat mengembalikan kemakmuran dan kestabilan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), nanti.
“Sebahagian kita (rakyat) pernah tersilap menaruh pengharapan kepada kepalsuan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
“Natijahnya amat besar, merimaskan lagi memusnahkan. Ibarat yang dikejar tidak dapat, yang dikendong berciciran.
“Keuntungan diinginkan daripada janji bulan dan bintang tidak menjelma, sebaliknya menghilangkan kemakmuran yang dikecapi,” katanya menerusi Facebook.
Beliau yang juga Presiden Umno berkata, sebaliknya apa yang terjadi adalah ketidakstabilan politik, kerosakan ekonomi negara, kemunduran ekonomi rakyat serta kemerosotan kesejahteraan kaum.
Namun, Ahmad Zahid berkata, kesilapan terhadap apa yang berlaku bukan berpunca daripada kesilapan rakyat, sebaliknya berpangkal kepada pihak yang bijak memperdaya.
Justeru, Ahmad Zahid menyifatkan kegagalan negara bagi tempoh 22 bulan dan 17 bulan telah memberi iktibar paling berharga buat rakyat.
“Bahawa pengharapan sesuatu yang amat besar ertinya dan tidak boleh sewenang-wenang dieksperimen apatah diperjudi.
“Pengharapan perlu berpaksi kepada rasional, logik, berfakta dan seboleh-bolehnya pernah terlihat. Itu antara faktor sebahagian besar mereka yang terpedaya telah kembali kepada BN,” katanya.
Jelas Ahmad Zahid, rakyat akan mengembalikan pengharapan kepada BN untuk memulihkan apa yang telah mereka hilang suatu ketika dulu.
“Kemenangan BN dalam banyak Pilihan Raya Kecil (PRK) serta Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Melaka menzahirkannya.
“Barangkali mereka (rakyat) sedang mengalami perasaan itu iaitu sesuatu baru terasa berharga apabila sudah kehilangannya,” katanya. – Malaysiapost

