Jamu tradisional bernilai RM30,000 dirampas

0
3

JABATAN Kesihatan Negeri (JKN) Selangor merampas pelbagai jenis produk perubatan tradisional seperti jamu yang disyaki tidak berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam serbuan di beberapa premis sekitar daerah Hulu Langat, kelmarin.

Pengarah Kesihatan Selangor Datuk Dr Sha’ari Ngadiman, berkata serbuan itu dijalankan oleh Cawangan Penguatkuasaan Farmasi JKN Selangor hasil maklumat daripada orang ramai.

Menurutnya, dalam serbuan berkenaan beberapa jenis keluaran jamu tradisional yang mengandungi tuntutan perubatan sebagai perangsang seks lelaki dan pelangsingan badan wanita dirampas.

Beliau berkata produk jamu berkenaan tidak memamaparkan nombor pendaftaran PBKD yang sah dan keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM30,000.

“Kesemua kes akan disiasat mengikut Akta Jualan Dadah 1952 dan jika sabit kesalahan, pihak yang berkaitan boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih RM25,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya.

“Sehubungan itu, JKN Selangor menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati sewaktu membeli sebarang keluaran kesihatan yang dijual dan memastikan ianya berdaftar dengan PKBD KKM,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, orang ramai juga digalakkan membuat aduan dan menyalurkan maklumat berkenaan produk yang meragukan sebagai usaha bersama pihak kementerian dalam membanteras penjualan produk kesihatan yang tidak dibenarkan bagi melindungi kesihatan dan kesejahteraan orang awam.

“Adua boleh disalurkan kepada Program Perkhidmatan Farmasi melalui laman sesawang http://www.pharmacy.gov.my atau melalui portal Sistem Pengurusan Aduan Agensi Awam (SisPAA) di http://moh.spab.gov.my.

“Aduan juga boleh dibuat di mana-mana Cawangan Penguatkuasaan Farmasi yang berdekatan atau melaui talian 03-78413200 agar tindakan sewajarnya dapat diambil,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here