AHLI Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman membidas kenyataan Datuk Seri Hishammuddin Hussein semalam yang menjangkakan kapal pertama daripada enam Kapal Tempur Pesisir (LCS) dapat disiapkan dalam tempoh satu atau dua tahun lagi.
Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) itu menzahirkan rasa kecewa kerana projek berkenaan bermula sejak 2010 dengan kos lebih RM6 bilion sudah dibelanjakan.
Katanya, selepas hampir 70 peratus kos projek dibayar namun tiada satu pun daripada enam LCS yang sampai untuk diserahkan kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
“Kapal pertama baru nak siap tahun 2024 pula. Projek yang bermula tahun 2010, dah belanja RM 6.083 bilion ringgit.
“Hampir 70 peratus harga kos dah dibayar – tapi satu dari enam kapal LCS pun belum sampai-sampai. Duit rakyat hilang, kapal pun hilang,” katanya dalam hantaran ringkas di Facebook.
Semalam, Hishammuddin yang juga Menteri Kanan Pertahanan berkata, beliau berharap kapal pertama daripada enam LCS dapat disiapkan dalam tempoh satu atau dua tahun lagi untuk diserahkan kepada TLDM.
Hishammuddin berkata, buat masa ini beliau tidak dapat memberi tempoh sebenar bagi kapal LCS untuk siap sepenuhnya kerana Kabinet memberi tempoh enam bulan kepada kementeriannya untuk memobilisasi usaha menghidupkan semula projek pembinaan kapal berkenaan.
Katanya, langkah itu memerlukan libat urus dengan vendor, termasuk di Perancis serta membabitkan agensi perbankan.
Khamis lalu, PAC dalam laporannya menyatakan, kerajaan sudah membayar RM6.083 bilion untuk projek lima kapal LCS kepada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) yang dilaksanakan secara runding terus namun tiada kapal yang diterima setakat ini.
Pengerusi PAC, Wong Kah Woh, mendedahkan lebihan kos projek LCS berjumlah RM1.4 bilion, dengan RM400 juta digunakan untuk membayar hutang lama daripada projek kapal peronda lama. – Malaysiapost

