PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sudah membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) susulan akaun peribadi Telegram dan Signal miliknya digodam pihak tidak bertanggungjawab.
Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan hari ini, memaklumkan akaun itu dipercayai digunakan bagi aktiviti jenayah penipuan dan meminta individu yang menerima mesej daripada akaun itu untuk mengabaikannya serta membuat laporan kepada pihak berkuasa.
“Individu yang menerima mesej daripada akaun ini diminta mengabaikannya kerana ia adalah mesej palsu daripada individu yang menyamar sebagai Perdana Menteri.
“Individu yang telah menjadi mangsa penipuan kewangan dan lain-lain, hendaklah melaporkannya segera kepada PDRM dan SKMM bagi membantu siasatan,” menurut kenyataan itu.
Semalam, Ismail Sabri memaklumkan akaun Telegram peribadi beliau telah digodam oleh individu tidak bertanggungjawab.
Menurut Perdana Menteri, beliau memohon agar perkara itu dilaporkan kepada pihak berkuasa dan meminta orang ramai agar mengabaikan sebarang mesej yang diterima daripada akaun berkenaan.
“Perhatian: akaun Telegram peribadi saya telah digodam oleh individu tidak bertanggungjawab. Mohon laporkan kepada pihak berkuasa dan abaikan sebarang mesej yang diterima daripada akaun berkenaan,” katanya.
Sebelum ini, kejadian telefon bimbit atau media sosial membabitkan menteri dan ahli politik digodam bukan perkara baharu dan terbaharu membabitkan Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah, malam tadi. – Malaysiapost

