KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) sentiasa meningkatkan kolaborasi dengan pelbagai pihak termasuk swasta, dan badan korporat untuk memantapkan lagi usaha mencungkil lebih ramai bakat sukan dalam kalangan murid dan pelajar sekolah.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, KPM juga secara asasnya telah menjalin kerjasama erat dengan kementerian lain, temasuk Kementerian Belia dan Sukan khususnya untuk pembangunan bakat atlet murid.
Katanya, ia termasuk pelaksanaan Program Pembangunan dan Pencarian Bakat (MyTID), penganjuran liga bola sepak, Malaysian Little League (MiLL) serta program pencarian bakat untuk sepak takraw yang akan dilancarkan dalam masa terdekat.
“Kerjasama dengan pelbagai pihak ini bertujuan memastikan bukan saja kita dapat mencungkil bakat baharu tetapi memberi keyakinan kepada anak-anak di sekolah bahawa setiap daripada mereka mempunyai kekuatan masing-masing dan boleh dioptimumkan,” katanya menerusi Facebook.
Terdahulu, beliau memenuhi jemputan Persatuan Bola Tampar Putrajaya bagi menyempurnakan majlis penutup kejohanan bola tampar amatur, semalam.
“Inisiatif ini tentunya memberi ruang kepada murid membina keyakinan diri untuk bersaing dan menonjolkan potensi dimiliki.
“Pihak sekolah juga berpeluang belajar pelbagai aspek dari sudut penganjuran kejohanan dalam skala besar dari badan sukan yang berpengalaman,” katanya.
Beliau juga mengucapkan syabas kepada lapan sekolah di Putrajaya yang menyahut cabaran menyerlahkan bakat dalam kejohanan terbabit.
“Tahniah buat Sekolah Alam Shah dan SMKPP8 (1) yang masing-masing muncul juara bagi kategori lelaki dan wanita.
“Semoga pengalaman yang dikutip boleh dijadikan pembakar semangat untuk mencorak kejayaan yang lebih gemilang di masa hadapan,” katanya. – Malaysiapost

