GERAKAN Tanah Air (GTA) yang diterajui bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir didakwa bakal menjadi mimpi ngeri kepada pemimpin politik dan kerajaan yang telah menggadai tanah air ini demi kepentingan mereka.
EXCO Pergerakan Wira Putra Malaysia, Muhammad Fazreen Johari, berkata tuduhan mendakwa GTA lemah hanyalah berdasarkan fakta kononnya gabungan itu dianggtoi parti tidak popular, sokongan yang masih kecil dan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Melaka, baru-baru ini.
“Tetapi ramai yang lupa gabungan pemimpin seperti Datuk Ibrahim Ali, Presiden PUTRA yang di dalamnya, yang ada cukup pengalaman dalam menumbangkan kerajaan Kelantan dua kali.
“Iaitu sepanjang penyertaan beliau melalui parti kecil dan baru iaitu Berjasa dan Semangat 46 satu masa dahulu amat berguna dalam gabungan ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, keadaan itu sekali gus memberi kelebihan kepada GTA untuk terus lantang dan berani bersuara bagi orang Melayu dan Pribumi.
“Kerjasama politik kali ini di antara parti Putra, Pejuang, Berjasa dan Iman yang di pimpin oleh Tun Dr Mahathir sebenarnya bakal menjadi mimpi ngeri kepada pemimpin politik dan kerajaan yang telah menggadai tanah air ini demi kepentingan mereka.
“Kebajikan dan kemiskinan orang Melayu dipandang remeh. Masalah ini disembunyi dan dielakkan daripada disedari oleh orang Melayu agar pemimpin politik yang korup ini boleh mencucuk hidung rakyat dan rakyat terus mengikut kata mereka walaupun mereka telah mengkhianati agama, bangsa dan tanah airnya secara halus,” katanya.
Beliau berkata, kekuatan parti Melayu di dalam kerajaan sama ada yang lama atau parti serpihan Umno bukan halangan atau ancaman besar buat gabungan baharu itu pada masa ini.
“Selepas PRU15 ini juga dijangka tiada lagi parti yang dominan untuk mentadbir negara. PN semasa di PRN Johor juga tidak mendapat keputusan yang terlalu baik, jika tidak kerana memperoleh undi dari penyokong PAS sedia ada dan sebahagian kecil penyokong Bersatu.
“Begitu juga purata undi yang menurun pada PRN lalu bagi setiap parti yang lama menunjukkan bahawa rakyat sudah pun mula hilang kepercayaan dan bersedia untuk buat perubahan,” katanya.
Justeru, beliau berkata, GTA merupakan pilihan baru dan alternatif kepada orang Melayu untuk bersama menyokong perjuangan gabungan itu demi masa depan yang lebih baik dan terjamin. – Malaysiapost

