ANGKASA sediakan pusingan kredit untuk stabilkan harga barang

0
2

Ben Ibrahim

GERAKAN koperasi sudah bersedia mengambil alih peranan orang tengah dalam usaha menstabilkan harga barangan keperluan asas di pasaran.

Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (ANGKASA), Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah berkata, setakat ini terdapat kira-kira 3,000 rangkaian kedai kendalian koperasi di seluruh negara.

Menurutnya, kesemuanya mempunyai kemampuan menyediakan dan menawarkan pelbagai jenis barangan, terutamanya keperluan asas pada harga lebih berpatutan.

“Melalui kedai koperasi ini juga, kita berurusan terus dengan pembekal dan sekali gus dapat mengelakkan kegiatan orang tengah yang selalunya menjadi sebab utama harga sukar dikawal.

“Selain itu, bagi memastikan rantaian bekalan dan operasi antara pembekal dan kedai koperasi tidak berdepan masalah, ANGKASA menyediakan kemudahan pusingan kredit kepada koperasi di mana mereka tidak perlu membayar untuk stok atau bekalan dihantar ke kedai mereka bagi tempoh tertentu.

“Bagi tujuan ini, ANGKASA menyediakan dana sehingga RM10,000 untuk setiap kedai koperasi,” katanya kepada media selepas melawat tapak projek ternakan ikan air tawar diusahakan koperasi Akuatani Pandan 2, dekat Kuantan, hari ini.

Abdul Fattah mengulas saranan Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, Tan Sri Annuar Musa, yang mahu gerakan koperasi memainkan peranan utama dalam ‘memerangi’ campur tangan orang tengah yang mengaut keuntungan berlebihan.

Mengulas lanjut mengenai saranan itu, beliau berpendapat usaha bagi menstabilkan harga barangan keperluan asas boleh dilakukan dengan lebih berkesan melalui kerjasama rapat antara ANGKASA dan kementerian berkaitan.

“Kalau ANGKASA sahaja, mungkin kurang berkesan, tapi kalau semua pihak bekerjasama, kementerian berkaitan bekerjasama dengan ANGKASA, saya fikir tidak ada masalah,” katanya.

Beliau turut memaklumkan, konsep kedai barangan asas (BA100) diperkenalkan ANGKASA sejak tahun 2019 mempunyai kemampuan untuk menjadi pusat sehenti bagi pengguna mendapatkan barangan keperluan asas pada harga lebih murah.

Katanya, selain menyediakan kedai BA100, pihaknya juga menawarkan platform perniagaan secara atas talian iaitu JiMATbiz dan JiMATshop kepada pengusaha. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here