Peguam Negara ketuai siasatan insiden KPPA didakwa maki pegawai Imigresen

0
1

DAKWAAN Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) mengeluarkan kata-kata kesat terhadap seorang pegawai Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Rabu lalu akan disiasat Jawatankuasa Siasatan diketuai Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali, berkata ia selaras dengan arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam Mesyuarat Jemaah Menteri, kelmarin.

“Jawatankuasa ini akan bersidang dengan secepat mungkin dan dianggotai oleh Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun sebagai pengerusi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, selain Idrus, jawatankuasa itu dianggotai Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani; Ketua Audit Negara, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Nik Azman Nik Abdul Majid dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Beliau berkata, jawatankuasa itu bertanggungjawab mengendalikan siasatan secara terperinci bagi memberi pengadilan sewajarnya kepada kedua-dua pihak.

“Hasil dan syor siasatan akan dibentangkan kepada Perdana Menteri untuk pertimbangan selanjutnya,” katanya.

Malaysiapost sebelum ini melaporkan, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah didakwa menengking dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap seorang pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di KLIA.

Insiden itu menyebabkan Kesatuan Perkhidmatan Imigresen Semenanjung Malaysia (KPISM) membuat kenyataan menuntut Mohd Shafiq membuat permohonan maaf secara terbuka.

Sementara itu, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam satu kenyataan balas menyifatkan dakwaan berkenaan tidak berasas.

JPA mendakwa KPPA menegur pihak Imigresen di KLIA khususnya pegawai bernama James Lee berikutan ketidakpatuhan amalan dan prosedur apabila pegawai tidak menyemak dokumen perjalanan dan pasport KPPA serta delegasi ke luar negara. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here