Isu LCS: Zahid jangan lari – Chin Tong

0
3

PRESIDEN Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi diminta tidak cuba lari daripada tanggungjawab berhubung isu projek Kapal Tempur Pesisir Pantai (LCS).

Bekas Timbalan Perdana Menteri Liew Chin Tong, berkata projek berkenaan diluluskan ketika Ahli Parlimen Bagan Datuk itu menjadi Menteri Pertahanan pada 2011.

Chin Tong berkata, laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menunjukkan Ahmad Zahid juga yang membuat keputusan untuk menukarkan sistem LCS daripada sistem Sigma kepada sistem Gowind.

Menurutnya, pertukaran sistem berkenaan dibuat sebelum berunding dan minta nasihat pihak Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

“Ahmad Zahid bertanggungjawab atas penyelewengan dana dan kegagalan projek LCS yang berlaku.

“Beliau mesti jawab kepada rakyat sekarang juga. Jangan lari,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Berdasarkan laporan PAC yang dikongsikannya, jawatankuasa berkenaan dimaklumkan Ahmad Zahid bersetuju dengan cadangan TLDM untuk reka bentuk Sigma dan Combat Management System daripada Palaise, Perancis.

Akan tetapi pada tahun sama, iaitu pada 11 Julai 2011 Ahmad Zahid bersetuju pula untuk memilih reka bentuk Gowind dan pada 26 September 2011 bersetuju untuk perubahan kepada Combat Management System daripada taktikal kepada Setis.

Terdahulu Ahmad Zahid dilaporkan berkata, beliau tidak wajar dikaitkan dengan kegagalan projek LCS kerana beliau bukan Menteri Pertahanan ketika projek itu dianugerahkan.

Menurutnya, beliau memegang jawatan sebagai Menteri Pertahanan dari April 2009 hingga Mei 2013.

Ahmad Zahid, LCS yang dibina oleh Boustead Naval Shipyard (BNS) Sdn Bhd yang juga anak syarikat Boustead Holdings Bhd, yang mana pemegang saham terbesar adalah Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

Beliau berkata, merujuk laporan audit dari PAC, kontrak kepada Boustead adalah mengikut Garis Panduan Permohonan Perolehan Secara Rundingan Terus bertarikh 17 April 2002 dan ia jelas tiada kaitan dengannya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here