MALAYSIA mengutuk sekeras-kerasnya serangan terbaharu Israel ke atas Gaza yang telah mengakibatkan kehilangan banyak nyawa orang awam, termasuk kanak-kanak.
Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah, berkata serangan terbabit jelas melanggari undang-undang antarabangsa dan prinsip-prinsip kemanusiaan sejagat.
“Sehubungan itu, Malaysia menyeru masyarakat antarabangsa untuk segera memberikan tekanan mendalam kepada Israel untuk menghentikan serta merta pencerobohan dan keganasan ke atas rakyat Palestin,” katanya dalam satu kenyataan.
Selain itu, Saifuddin turut menggesa masyarakat antarabangsa untuk mengecam Israel ke atas serangan provokasi yang disifatkan mementingkan diri sendiri dan dasar apartheid terhadap hak asasi, kehidupan, mata pencarian serta maruah semua rakyat Palestin.
Tegasnya, tidak boleh ada pendekatan berbeza dalam menangani sebarang konflik.
“Bagaimanapun, Malaysia sentiasa menzahirkan sokongan yang tidak berbelah bahagi serta solidariti teguh bersama rakyat Palestin dalam mencapai kebebasan mutlak daripada pendudukan haram Israel,” katanya.
Terdahulu, seramai 24 rakyat Palestin dilaporkan terkorban di Semenanjung Gaza termasuk enam kanak-kanak dan 203 cedera dalam serangan udara tentera rejim zionis bermula Jumaat lalu. – Malaysiapost

