Selepas Zuraida, timbalannya pula meninggalkan Bersatu

0
2

TINDAKAN Ahli Puncak Borneo Datuk Willie Mongin meninggalkan Bersatu dan menyertai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB) mengecewakan Bersatu Sarawak.

Willie kini mengikut jejak Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Zuraida Kamaruddin yang meninggalkan Bersatu untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) sebelum ini.

Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sarawak Jaziri Alkaf Abdillah Suffian, berharap tindakan Willie yang juga Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi berkenaan bukanlah demi kepentingan peribadi.

“Bersatu Sarawak mengambil maklum tindakan Ahli Parlimen Puncak Borneo mengenai permohonan untuk menyertai Parti PBB telah diluluskan.

“Oleh itu, keahliannya telah tergugur secara automatik menurut Perlembagaan parti Fasal 10, perkara 10.2.3. Hal ini juga telah disampaikan kepada Tan Sri Muhyiddin Yasin selaku Presiden Bersatu.

“Bersatu Sarawak kecewa dengan tindakan Willie yang mengumumkan keluar parti menjelang Pilihan Raya Umum yang hampir tiba,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam masa yang sama, beliau berkata Bersatu Sarawak menyokong tindakan susulan oleh pucuk pimpinan parti berkaitan kuota Timbalan Menteri dijawat Willie yang sebelum ini adalah kuota milik Bersatu.

“Bersatu Sarawak sentiasa mengamalkan politik khidmat sebagai wadah perjuangan di Sarawak dan mengutamakan Sarawak dengan memberi perkhidmatan yang terbaik untuk rakyat Sarawak,” katanya.

Terdahulu Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg, yang juga Presiden parti PBB mengesahkan Willie menyertai partinya semalam.

Menurutnya, keputusan untuk menerima Willie sebagai ahli PBB itu dibuat hari ini tanpa sebarang komitmen. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here