Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan
SAYA akui bahawa Tun Dr Mahathir Mohamad adalah seorang tokoh yang tiada tolok bandingnya serta anugerah Allah SWT yang cukup teristimewa.
Tetapi dalam masa yang sama jangan lupa pada pepatah Melayu ‘patah tumbuh hilang berganti.’
Bila patah akan tumbuh seribu semula dan apabila hilang pasti akan berganti lagi.
Jangan lupa bahawa Datuk Seri Mukhriz Mahathir adalah anakanda kepada tokoh negarawan terulung ini yang mempunyai pelbagai ciri-ciri yang dipelajari dari ayahanda beliau.
Mukhriz Mahathir dilahirkan dalam keluarga politik dan terdedah dengan pelbagai ilmu politik sejak beliau remaja lagi.
Sesungguhnya, Mukhriz adalah seorang tokoh pemimpin pelapis yang berprinsip serta berwibawa dalam pelbagai segi.
Bukan saja terdedah dalam ilmu politik tetapi juga seorang ahli perniagaan yang berjaya dan mempunyai asas pengetahuan ekonomi yang baik juga.
Kita belum lihat warna sebenar Mukhriz lagi.
Kini, selaku Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) beliau sudah pasti mengizinkan ayahanda beliau yang amat berpengalaman luas untuk mengemudi hala tuju parti terlebih dahulu.
Sesungguhnya, Presiden parti Pejuang ini adalah seorang yang banyak bekerja dari bercakap.
Tumpuan Presiden Pejuang buat masa ini hanyalah melaksanakan segala agenda yang disusun oleh Dr Mahathir.
Tambahan pula, Presiden juga sedang dibantu secara efektif oleh Timbalan beliau iaitu Datuk Marzuki Yahya.
Begitu juga dengan pemimpin-pemimpin Pejuang yang lain memainkan peranan masing-masing ke arah untuk kami memenangi seberapa banyak kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang akan datang.
Kami bukan jenis ‘bertelur sebiji riuh sekampung.’
Kalau kita toleh ke belakang sejarah telah membuktikan bahawa Dr Mahathir juga dulu tidak menyerlah ketika menjadi Timbalan Perdana Menteri Malaysia.
Berita-berita dan liputan media massa amat berkurangan mengenai beliau pada waktu itu.
Allahyarham Tun Hussein Onn banyak mengemudi pentadbiran negara ketika itu dan Dr Mahathir Mohamad kurang bercakap tetapi hanya mengimplimentasikan segala buah pemikiran Tun Hussein Onn.
Namun, apabila Dr Mahathir dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia keempat dalam sekelip mata kemajuan negara mula menyerlah secara amat memberangsangkan.
Dari sebuah negara sedang membangun, Dr Mahathir telah mentransformasikan Malaysia sehingga diiktiraf sebagai kuasa Asia baru dengan nama jolokan ‘Harimau Asia.’
Sejarah ini akan berulang kembali dan Mukhriz akan mampu mengulangi sejarah ini.
Parti Pejuang tidak ketandusan pemimpin-pemimpinnya.
Semua pemimpin-pemimpin dalam Pejuang adalah terdiri dari kalangan berprinsip, bersih, cekap dan amanah.
Kita ada Datuk Marzuki Yahya, Datuk Amiruddin Hamzah, Dato Seri Dr Shahrudin dan tokoh-tokoh pemimpin muda yang baru.
Sesiapapun tidak boleh menafikan bahawa Mukhriz adalah seorang tokoh pemimpin pelapis yang terbaik jika dibandingkan dengan pemimpin-pemimpin pelapis yang lain khususnya dari segi prinsip serta integriti.
Selepas era kepimpinan emas Dr Mahathir Mohamad lebih ramai muka-muka baru akan muncul kerana buat masa ini Pengerusi Pejuang sedang mengacukan serta mengilap bakat-bakat baru dalam Pejuang.
Insya-Allah dengan izin Allah SWT, kami akan berjaya menggalas amanah Dr Mahathir secara terbaik dan teramanah yang mungkin.
Orang luar ramai yang tidak mengetahui agenda kepimpinan yang sedang disusun atur oleh Dr Mahathir.
Semua pihak mempunyai pandangan masing-masing mengenai parti Pejuang tetapi dalam masa yang sama kami lebih mengetahui hala tuju parti yang sedang diusahakan oleh Dr Mahathir.
Parti Pejuang akan terus relevan seakhir zaman. Insya-Allah! Amin!
Penulis ialah Ketua Pejuang Wilayah Persekutuan
(Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Malaysiapost)

