
KEPIMPINAN parti Bersatu digelar sebagai ‘lembik’ kerana tidak berani menarik sokongan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan kerajaan, walaupun beberapa kali didakwa mengugut untuk melakukannya.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata Bersatu sememangnya tidak berani melakukannya kerana mahu ‘melukut di tepi gantang’.
“Awalnya Ahli Parlimen Bersatu nampak berani. Mereka yang dari Umno berani tinggalkan Umno dan menyertai Bersatu.
“Mereka tikam belakang Tun Dr Mahathir Mohamad melalui langkah Sheraton.
“Kini mereka lembik mengecut. Sudahlah tidak dapat jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM), Bersatu juga terhina kerana Datuk Zuraida Kamaruddin kekal Menteri walaupun tinggalkan parti tersebut,” katanya di Facebook, hari ini.
Menurutnya, Ketua Penerangan Bersatu Datuk Wan Saiful Wan Jan juga sebelum ini mengadu parti berkenaan kehilangan beberapa jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) termasuk jawatannya sebagai Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
“Seorang demi seorang Ahli Parlimennya keluar parti. Bersatu takut tekan ‘butang’ bukan kerana rakyat tetapi mahu melukut di tepi gantang,” katanya.
Terdahulu Ismail Sabri menegaskan kerajaan pimpinannya sentiasa bersedia menghadapi kemungkinan untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dalam masa terdekat sekiranya terdapat pihak menarik sokongan terhadap kerajaan.
Menurutnya, PRU-15 perlu diadakan jika perkara itu berlaku bagi memilih kerajaan yang baharu. – Malaysiapost
