SERAMAI 24 rakyat Palestin dilaporkan terkorban di Semenanjung Gaza di mana tentera rejim zionis Israel menyasarkan ahli kumpulan Palestin Jihad Islam (PIJ), menurut Kementerian Kesihatan Palestin.
Memetik laporan BBC news, enam kanak-kanak dan beberapa pejuang Palestin Jihad Islam termasuk pemimpin Tayseer Jabari, antara yang maut.
Israel pula mendakwa kira-kira 300 roket dan mortar Palestin pula ditembak ke arah Israel sejak Jumaat lalu.
Tentera zionis melancarkan serangan terhadap Palestin dengan mendakwa menerima ‘ancaman segera’ daripada PIJ.
Kementerian Kesihatan Gaza menyalahkan ‘pencerobohan Israel’ menyebabkan kematian rakyat Palestin, termasuk 203 orang yang cedera.
Keganasan terbaharu itu adalah antara paling serius sejak konflik 11 hari yang berlaku pada Mei 2021 menyebabkan lebih 200 rakyat Palestin terbunuh.
Tentera Israel memberi amaran operasi terbaharu dengan nama kod Breaking Dawn itu boleh berlangsung selama seminggu.
Selain serangan udara ke atas Gaza, kira-kira 19 anggota PIJ telah ditangkap dalam serbuan di seluruh Tebing Barat. – Malaysiapost

