Bersatu tidak sewenangnya menarik sokongan terhadap kerajaan – Radzi Jidin

0
2

TIADA perbincangan mengenai isu menarik sokongan terhadap Kerajaan Persekutuan diterajui Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri, kata Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr Radzi Jidin.

Menurutnya, Bersatu tidak akan sewenang-wenangnya menarik sokongan terhadap Kerajaan Persekutuan, selain menunggu perbincangan lanjut diadakan bersama Ismail Sabri.

Beliau berkata, bagaimanapun setakat ini Perdana Menteri masih belum memberi mengenai pembatalan pertemuan bersama Perikatan Nasional (PN) di saat akhir, baru-baru ini.

“Kita tak sebut akan ‘simply’ (sewenang-wenangnya) tarik sokongan (terhadap Kerajaan Persekutuan), sebaliknya akan tunggu dan lihat apakah perkara akan disentuh dalam perbincangan itu nanti.

“Apa yang paling penting sekarang untuk kita memberi tumpuan kepada keadaan negara dalam konteks memberi fokus ke atas usaha transformasi pendidikan.

“Ini adalah fokus kita kepada rakyat bagi memastikan masyarakat sentiasa menerima yang terbaik dalam sebarang tempoh kita ada sebagai kerajaan. Pelaksanaan adalah lebih penting (berbanding jawatan Timbalan Perdana Menteri),” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Kejohanan Olahraga Tahunan Keenam Sekolah Kebangsaan (SK) Putrajaya Presint 17(1) di Putrajaya, hari ini.

Sementara itu, Radzi yang juga Menteri Kanan Pendidikan, menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang andaian berkaitan situasi itu.

“Dalam konteks ini, apa yang penting adalah pertemuan (bersama Ismail Sabri) itu nanti.

“Jangan ‘across the bridge’ (membuat andaian atau kesimpulan) dulu, biarkan kita bincangkan perkara berbangkit dalam pertemuan itu dulu,” katanya.

Terdahulu media melaporkan PN berkemungkinan menarik diri daripada kerajaan sebagai protes terhadap keengganan Perdana Menteri untuk memenuhi perjanjian bagi melantik Timbalan Perdana Menteri daripada Bersatu.

Ia susulan kepimpinan PN kecewa selepas pertemuan dengan Ismail Sabri yang dijadualkan berlangsung pada 2.30 petang kelmarin tiba-tiba dibatalkan malam sebelumnya oleh Pejabat Perdana Menteri. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here