ADIK Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) sejak Ahad lalu kini kini dilaporkan telah sedar sepenuhnya.
Berita gembira itu dimaklumkan bapanya, Ahmad Safiuddin Ahmad Razak menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Menurutnya, bacaan darah Ainul Mardhiah hampir normal semuanya manakala mesin ventilator sudah dimatikan serta banyak ubatan telah diberhentikan.
“Cuma kuman masih ada lagi dan perlu teruskan antibiotik, sehingga bila, itu terpulang pada doktor, doktor lebih tahu. Asalkan Ainul sihat sahaja.
“Hari ini Ainul kena tambah darah, terima kasih penderma darah. Orang seperti Ainul ini sangat perlukan darah tambahan, beruntung orang yang suka menderma darah ini.
“Pahala anda sentiasa mengalir sebab telah berbuat ihsan sesama manusia,” tulisnya.
Ahmad Safiuddin berkata, kesihatan anaknya sangat bergantung kepada penderma darah selain menghargai sumbangan itu buat pesakit lain seperti anaknya.
“Semoga Allah SWT lapangkan rezeki kalian dan dicukupkan semuanya. Azam lepas ni kita derma darah ramai ramai ya.
“Nampak macam remeh-temeh, tapi percaya lah besar pahalanya sebab dapat bantu orang yang memerlukan. Membantu dan memberi pertolongan tidak semestinya dengan wang ringgit,” ujarnya.
Isnin lalu, ibu kepada Ainul Mardhiah iaitu Nurul Erwani Zaidi menerusi Instagram memaklumkan anaknya kini sedang tenat dan menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) akibat jangkitan kuman.
Nurul Erwani berkata, anaknya mula menunjukkan simptom muntah dan cirit-birit sebelum dikejarkan ke hospital menaiki ambulans.
Ainul Mardhiah sebelum ini pernah menjalani pembedahan di London, United Kingdom bagi membuang tumor seberat 200 gram daripada mulutnya pada 2019. – Malaysiapost
Kunjungi bahagian Resam Hidup untuk baca cerita yang terkini dan menarik

