Perbicaraan Ahmad Zahid bongkar semuanya – Shahrir Samad

0
1

VETERAN Umno, Tan Sri Shahrir Abdul Samad menyifatkan kes perbicaraan yang dihadapi Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberikan hasil yang baik mengenai pelbagai pendedahan.

Menurutnya, ia membabitkan pendedahan nama-nama individu tertentu yang menjadi ‘katak politik’ untuk menyelamatkan diri daripada turut disiasat, selain dilantik menjadi menteri.

“Kalau masa kerajaan Pakatan Harapan (PH), cerita ini, walaupun diketahui umum, telah ditutup. Ianya seumpama ‘bangkai gajah ditutup dengan nyiru’ tetap berbau.

“Mereka jadi ‘katak politik’ untuk selamatkan diri, tidak disiasat dan terus jadi menteri. Ianya zaman pendakwaan terpilih (‘selective prosecution’) oleh bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya dan bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas.

“Hanya mereka yang ada kaitan dengan Barisan Nasional (BN) telah dikenakan tindakan SPRM,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Menurutnya, itu hanya membabitkan dana politik dari bekas Presiden Umno dan Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak.

“Apa pula dengan dana dari Buku 555 (lejer) Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB). Ramai nama sudah disebut dalam mahkamah dan Latheefa Koya dan SPRM pun tentu tahu pasal Buku 555 ini.

“Tapi, apa nak buat, baru sekarang baru boleh disiasat. Latheefa dan Tommy dah tidak lagi pegang jawatan-jawatan penting itu.

Bagus ada perbicaraan ni. Semuanya terbongkar,” katanya.

Shahrir merujuk kepada nama beberapa individu yang disebut dalam buku lejar UKSB, antaranya Khairy Jamaluddin, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Turut didedahkan menerima wang UKSB, yang dikatakan sebagai dana politik adalah Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, Datuk Seri Anifah Aman dan Shahril Hamdan.

Ahmad Zahid, 69, berdepan 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SG$13.56 juta daripada UKSB untuk dirinya selaku Menteri Dalam Negeri.

Ia bagi melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali Perkhidmatan Pusat Sehenti (OSC) di China dan VLN, serta mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh kementerian terbabit.

Bagi tujuh lagi pertuduhan, Ahmad Zahid didakwa sebagai menteri sama, mendapatkan untuk dirinya wang tunai SG$1,150,000, RM3 juta, EURO15,000 dan AS$15,000 tanpa balasan daripada UKSB yang mempunyai kaitan dengan kerja rasmi beliau.

Dia didakwa melakukan semua kesalahan itu di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya dan Country Heights, Kajang, antara Oktober 2014 dan Mac 2018. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here