BERSATU Johor kecewa dengan keputusan Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz untuk bergerak aktif bersama Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Timbalan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Johor, Mohd Solihan Badri, sebaliknya menyarankan beliau menyertai Bersatu pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang jelas dan ikhlas berjuang membanteras rasuah serta pembaharuan landskap politik.
“Bersatu adalah wadah perjuangan politik yang paling sesuai untuk menteri kewangan itu apatah lagi Muhyiddin yang mencadangkan beliau dilantik menjadi senator dan seterusnya mengisi jawatan tersebut.
“Bagi Bersatu, kami tiada masalah dengan niat Tengku Zafrul menyertai politik secara aktif untuk meneruskan pembaharuan fiskal negara tetapi kami yakin ia hanya sia-sia jika beliau berada dalam parti yang salah.
“Kami yakin, matlamat pembaharuan fiskal itu hanya dapat direalisasi dan disempurnakan menerusi visi induk pembaharuan landskap politik serta pentadbiran negara yang diperjuangkan oleh Muhyiddin bersama parti yang bergabung dalam Perikatan Nasional (PN),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pengerusi BN Selangor, Tan Sri Noh Omar pada 31 Julai lalu mengumumkan Tengku Zafrul sebagai Bendahari BN Selangor bagi menggantikan Datuk Seri Jamal Yunos yang dilantik sebagai Ketua Komunikasi BN Selangor.
Sementara itu, Mohd Solihan berkata keputusan dibuat Tengku Zafrul itu hanya akan mengecewakan rakyat.
“Jadi, jika dia mahu menyertai Umno, kita semua tahu parti itu diterajui kepemimpinan yang ketirisan integriti malah ada yang telah didapati bersalah oleh mahkamah kerana terlibat dengan kes rasuah serta melakukan penyelewengan.
“Pada masa sama, keputusan Tengku Zafrul menyertai Umno hanya akan mengecewakan rakyat dan perasaan itu akan dizahirkan oleh pengundi pada PRU-15 kelak dengan tidak mengundi di kawasan dia bertanding sama ada kerusi Parlimen mahupun Dewan Undangan Negeri (DUN),” katanya.
Beliau berpendapat ura-ura kepimpinan Umno untuk mengangkat Menteri Kewangan itu sebagai ‘poster boy’ juga sekadar umpan untuk mengeksploitasi personalitinya demi kepentingan parti semata-mata.
“Pada sisi yang lain, saya menyarankan Tengku Zafrul berdiri dan bertanding PRU-15 atas tiket calon bebas dan parti yang menang pilihan raya itu akan mengangkat beliau menjadi menteri dalam Kabinet kerajaan mereka,” katanya. – Malaysiapost

