PEJUANG Palestin membalas serangan udara tentera rejim zionis Israel ke atas Gaza dengan bedilan roket hari ini dalam peningkatan keganasan paling buruk di rantau Asia Barat itu.
Pihak berkuasa Palestin di Semenanjung Gaza berkata, 10 orang terbunuh dalam pengeboman rejim zionis termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun, sementara 75 yang lain cedera.
Tentera Israel pula menganggarkan operasinya membunuh seramai 15 pejuang Palestin.
“Kami menganggap 15 orang mati semasa berperang di Gaza,” kata jurucakap tentera Israel, Richard Hecht merujuk kepada pejuang Palestin.
Kereta-kereta kebal Israel pula mengambil kedudukan di sempadan, serta meningkatkan bilangan askar Israel sejak Khamis lalu.
Perdana Menteri Israel, Yair Lapid pula berkata, pihaknya melancarkan ‘operasi awal ke atas ancaman serta-merta’ oleh pejuang Palestin susulan ketegangan yang berterusan selama beberapa hari di sempadan Gaza.
Jihad Islam mengesahkan mengenai pembunuhan komander kanan kumpulan itu, Taysir al-Jabari, dalam satu serangan semalam.
Bedilan roket dan serangan Israel berterusan semalaman dan berisiko mencetuskan semula perang 11 hari pada Mei 2021 yang memusnahkan Gaza dan memaksa penduduk Israel berlindung di kubu-kubu bawah tanah.
“Israel tiada minat mencetuskan konflik lebih meluas di Gaza tetapi tidak akan mengelak jika terpaksa,” kata Lapid dalam ucapan di televisyen.
Israel mendakwa sekurang-kurangnya 70 roket dilancarkan dari Gaza dan 11 roket jatuh di wilayah berkenaan dengan berpuluh-puluh lagi lagi berjaya di pintas sistem pertahanan ‘kubah besi’, manakala sebilangan lain mengenai kawasan terbuka. – Malaysiapost

