POLIS mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian seorang lelaki diserang menggunakan pisau dan cedera ditangan kiri akibat ditoreh individu dikenalinya dalam kejadian di hadapan sebuah salun rambut di Jalan Ipoh, semalam.
Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai, berkata pihaknya menerima laporan itu pada 9.17 malam tadi.
Menurutnya, hasil siasatan mendapati mangsa yang berusia 42 tahun telah berselisih faham dengan seorang lelaki tempatan berusia 36 tahun yang dikenalinya.
“Kejadian berlaku pada 4 petang semalam di mana punca kejadian adalah disebabkan suspek tidak berpuas hati dengan aduan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan penyelewengan wang yang dibuat oleh mangsa ke atas suspek.
“Semasa pertelingkahan di tempat kejadian, suspek bertindak menoreh tangan kiri mangsa dengan menggunakan sebilah pisau,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk mendapatkan rawatan dan pemeriksaan pegawai perubatan mendapati mangsa mengalami kesan luka sedalam tiga sentimeter (cm) dan perlu menjalani pembedahan.
“Bertindak atas siasatan, pada jam 11.50 malam tadi, polis berjaya menangkap suspek terbabit dalam kes ini di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul.
“Suspek yang ditangkap mempunyai tiga rekod pelbagai kesalahan jenayah lampau dan kes kini disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau kedua-duanya,” katanya.
Menurutnya, suspek akan dibawa ke mahkamah hari ini untuk permohonan reman bagi membantu siasatan.
“Polis Kuala Lumpur menasihati orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kes ini untuk menyalurkannya dengan menghubungi Bilik Gerakan IPD Sentul di talian 03-40482222,” katanya.
Terdahulu tular di media sosial video memaparkan seorang lelaki bertindak menoreh tangan lelaki yang dikatakan Pengerusi Persatuan Harapan India Malaysia (PHIM) Mani Maran Manaickam.
Video berdurasi tujuh saat itu turut memaparkan suspek melarikan diri sejurus selepas menyerang mangsa dan mangsa yang cedera bertindak mengejarnya.
Pada 28 Julai lalu, media melaporkan Mani Maran diserang dan menerima 16 jahitan di bahagian tengkuk selepas diserang individu tidak dikenali.
Beliau mendakwa serangan itu dipercayai berhubung laporan SPRM dibuatnya berhubung kes tuntutan palsu dan penyelewengan dana Program Insentif Pengambilan Pekerja (Penjaja Kerjaya). – Malaysiapost

