POLIS menafikan dakwaan cubaan culik seorang murid di sebuah prasekolah, di Balung, Tawau yang dikatakan berlaku pada Isnin lalu, seperti tular di media sosial termasuk di aplikasi WhatsApp.
Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Jasmin Hussin, berkata pihaknya menerima banyak pertanyaan berhubung isu yang tular berkenaan dan siasatan mendapati ia adalah berita palsu.
Beliau berkata, pihaknya mengambil langkah proaktif dengan mengadakan pertemuan bersama pihak sekolah, ibu bapa dan murid yang didakwa menjadi mangsa cubaan culik bagi mengetahui kejadian sebenar.
Menurutnya, susulan itu satu laporan polis dibuat oleh pengawal keselamatan sekolah terbabit pada jam 3.26 petang semalam yang menafikan berlakunya insiden berkenaan.
“Justeru itu, polis ingin mengingatkan masyarakat untuk tidak mudah mempercayai apa yang dibaca di dalam talian dan menyemak kesahihannya maklumat tersebut sebelum membuat sebarang kesimpulan dan pandangan mengenainya,” katanya dalam satu kenyataan media malam tadi.
Terdahulu, tular satu hantaran dikongsikan orang ramai menerusi aplikasi WhatsApp berhubung cubaan culik murid prasekolah, di Tawau pada petang Isnin lalu.
Suspek dikatakan cuba mengumpan mangsa dengan memberi gula-gula dan wang namun mangsa menolak pujukan itu sebelum suspek cuba menarik tangan mangsa secara paksa.
Cubaan culik itu bagaimanapun dikatakan gagal apabila disedari oleh seorang guru bersama pengawal keselamatan di sekolah berkenaan. – Malaysiapost

