Guan Eng gesa sidang khas tentukan nasib 2 ADUN

0
2

PENGERUSI DAP, Lim Guan Eng menegaskan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang perlu mengadakan sidang khas tergempar bagi menentukan status kerusi bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR yang dipecat daripada parti itu.

Beliau berkata, mengikut Perkara 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang yang dipinda pada 2012, ADUN hendaklah mengosongkan kerusinya jika setelah dipilih sebagai calon parti politik, dia meletakkan jawatan atau dipecat daripada atau berhenti menjadi ahli parti itu.

“Seksyen 14A tidak terpakai kepada dua ADUN Bersatu Khaliq Mehtab Mohd Ishaq (Bertam) dan Zolkifly Md Lazim (Telok Bahang) kerana mereka telah bertanding sebagai ahli Bersatu walaupun menggunakan logo PKR.

“Bagaimanapun, dua bekas ADUN PKR – Dr Afif Bahardin (Seberang Jaya) dan Zulkifli Ibrahim (Sungai Acheh) tersangkut dengan Seksyen 14A selepas mereka tidak lagi menjadi ahli PKR berikutan dipecat kerana mengkhianati parti,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan itu berhubung kait dengan status Dr Afif Bahardin (Seberang Jaya) dan Zulkifli Ibrahim (Sungai Acheh) yang dipecat PKR pada 2020.

Guan Eng berkata, memandangkan pindaan baharu Perlembagaan Persekutuan masih belum diwartakan, maka keputusan Mahkamah Persekutuan bermakna Seksyen 14A dilindungi undang-undang dan harus diguna pakai ke atas dua bekas ADUN PKR itu.

“Rakyat Pulau Pinang ingin melihat pelaksanaan bersejarah pengisytiharan dua kerusi PKR itu dikosongkan dengan menguatkuasakan pindaan perlembagaan Pulau Pinang 2012 bagi menyaksikan hancurnya ‘katak’ politik,” ujarnya.

Rabu lalu, Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan Enakmen Anti-lompat Parti yang diluluskan DUN Pulau Pinang pada 2012 berperlembagaan.

Tetapi, empat ADUN itu menggesa Pulau Pinang menyeragamkan perlembagaan negeri sejajar cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan anti-lompat parti.

Berdasarkan akta anti-lompat parti persekutuan yang diluluskan baru-baru ini, Ahli Parlimen dipecat parti masih boleh terus menyandang kerusi masing-masing.

Kerajaan Pulau Pinang dijangka menentukan nasib empat ADUN itu dalam mesyuarat EXCO hari ini. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here