‘Ismail Sabri mahu membudayakan kembali rasuah, kleptokrasi’ – Wan Saiful

0
1

PERIKATAN Nasional (PN) dan Bersatu perlu memandang serius ucapan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Konvensyen Barisan Nasional (BN) baru-baru ini, yang disifatkan ingin membudayakan kembali amalan rasuah.

Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan, berkata ini kerana Perdana Menteri dilihat tidak membantah apabila Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengatakan bahawa Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz membawa ‘gula’ kepada parti itu, dan turut mengajar Menteri Kewangan itu agar mengambil apa yang sempat.

“Ini budaya Umno yang disahkan oleh Presidennya yang ada puluhan pertuduhan mahkamah.

“Ia seolah-olah Ismail Sabri redha dan mahu membawa kembali budaya rasuah dan kleptokrasi yang dipelopori oleh Umno sejak sekian lama.

“Justeru, saya menggesa Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu dan Majlis Tertinggi Perikatan Nasional memandang serius sikap Ismail Sabri yang semakin lunak dengan rasuah dan perasuah,” katanya menerusi Facebook.

Dalam pada itu, Wan Saiful berkata, tindakan Ismail Sabri yang secara terbuka mengatakan bahawa beliau melantik Tan Sri Noh Omar sebagai Menteri untuk membawa ‘minyak’ kepada jentera Umno disifatkan satu perkara membimbangkan.

“Ismail Sabri juga secara terbuka menyatakan bahawa beliau tidak boleh menceritakan semua perkara kerana dalam dewan (Dewan Konvensyen BN) itu kerana terdapat pemberita.

“Jadi, apa yang Ismail Sabri sembunyikan? Adakah Ismail Sabri sembunyikan rasuah?,” katanya menerusi Facebook.

Tegasnya, PN adalah parti yang memperjuangkan integriti demi membolehkan kemakmuran negara dikongsi oleh semua rakyat dan bukan parti yang mendokong rasuah dan perasuah.

Pada 31 Julai lalu, dalam konvensyen BN, Ismail Sabri mengatakan Noh yang juga Pengerusi Umno Selangor dilantik sebagai Menteri Kabinet untuk membantu merampas kembali negeri itu daripada PKR.

Perdana menteri mendedahkan, beliau ingin melantik Noh sebagai Menteri Undang-undang namun Ahli Parlimen Tanjong Karang itu meminta beliau diberi portfolio yang ‘dekat’ dengan rakyat.

Ismail kemudian secara berseloroh meminta Noh menyalurkan ‘minyak’ atau dana untuk menggerakkan jentera BN Selangor bagi menghadapi PRU yang dikatakan sangat hampir. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here