Negatif Covid-19, Hishammuddin kembali bertugas esok

0
2

MENTERI Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein akan kembali bertugas di Wisma Putra, Putrajaya esok.

Hishammuddin berkata, beliau telah diarahkan Kementerian Kesihatan Malaysiap (KKM) agar menjalani kuarantin wajib di kediaman sendiri sebelum ini.

Arahan ini, katanya, berikutan beliau dikenalpasti salah seorang kontak rapat kepada individu positif Covid-19 iaitu calon Barisan Nasional bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah bagi DUN (Dewan Undangan Negeri) Pitas, Sufian Abdul Karim.

“Saya telah ke Pitas bagi bersama-sama membantu kempen pada 21 September 2020,” katanya menerusi Facebook.

Beliau berkata, sehingga semalam, beliau telah melalui ujian saringan Covid-19 sebanyak tiga kali.

“Pada 22 September lalu – melakukan ujian saringan pertama di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 sebaik tiba dari Sabah. Ujian ini menunjukkan keputusan negatif.

“Kemudian, pada 28 September 2020 (Isnin) – Melakukan ujian saringan kedua. Ujian ini turut menunjukkan keputusan negatif.

“Pada 4 Oktober 2020 (Ahad) pula – Melakukan ujian saringan ketiga. Ujian ini juga menunjukkan keputusan negatif,” katanya.

Sehubungan itu, Ahli Parlimen Sembrong itu berkata, susulan tiga ujian saringan yang menunjukkan keputusan negatif, KKM melalui Pejabat Kesihatan Daerah Petaling telah mengeluarkan surat m mengesahkan hasil pemeriksaan dijalankan mereka.

“Dengan pengesahan ini, saya akan kembali menjalankan tugas di pejabat saya di Wisma Putra, Putrajaya seperti sedia kala bermula esok, Selasa 6 Oktober 2020,” katanya.

Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada KKM dan semua petugas yang membantunya sebaik mungkin sepanjang menjalani kuarantin. – Malaysiapost