Adun DAP pula positif Covid-19

0
1

AHLI Dewan Undangan Negeri (Adun) Kampung Tunku di Selangor dari DAP, Lim Yi Wei menjadi seorang lagi wakil rakyat disahkan dijangkiti Covid-19.

Menerusi kenyataan hari ini, Yi Wei memaklumkan sejurus kembali dari Sabah pada 27 September, beliau menjalani ujian saringan pertama di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 dan dipakaikan gelang merah jambu.

Katanya, sejak hari pertama beliau mengamalkan pengasingan kendiri di rumah.

“Pada 30 September, saya menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah Petaling Jaya untuk mengetahui keputusan saya.

“Keputusan ujian saringan pertama saya negatif dan saya dipanggil untuk menanggalkan gelang merah jambu keesokan harinya.

“Malangnya, saya mula mengalami gejala yang berkaitan dengan Covid-19 pada hari tersebut,” katanya.

Yi Wei berkata berdasarkan saranan, beliau menjalani ujian saringan kedua pada 2 Oktober dan menyambung pengasingan kendiri sehingga dimaklumkan keputusannya beliau positif Covid-19 pada hari ini.

“Pasukan saya juga mengamalkan pengasingan kendiri sejak hari pertama kami kembali. Mereka juga mendapat keputusan ujian saringan pertama yang negatif dan akan menjalankan ujian kedua dalam waktu terdekat.

“Saya mohon maaf kepada semua kakitangan Kementerian Kesihatan, sahabat perjuangan, dan semua yang terkesan walaupun semua langkah berjaga-jaga dipatuhi semasa berkempen dan pengasingan kendiri sejak hari pertama.

“Saya juga menyeru semua yang mempunyai kontak rapat dengan saya sejak 14 hari kebelakangan ini untuk menjalani ujian saringan di klinik kesihatan terdekat,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Hal Ehwal Agama, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri mengesahkan beliau positif Covid-19. – Malaysiapost