Nilam Oshman
KESATUAN Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJM) menzahirkan kebimbangan berhubung terdapat petugas media yang didapati positif Covid-19 selepas membuat liputan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, baru-baru ini.
Menerusi satu kenyataan, Presidennya, Farah Marshita Abdul Patah berkata, NUJM mengingatkan semua petugas media supaya sentiasa berhati-hati ketika menjalankan tugas dan mematuhi segala amalan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.
“Mana-mana petugas media yang baru pulang dari kawasan berisiko atau mempunyai gejala Covid-19 dinasihatkan segera melakukan ujian saringan di hospital dan mematuhi arahan kuarantin wajib,” katanya.
Beliau berkata, dengan perkembangan dan statistik penularan semakin meningkat, NUJM mengingatkan setiap petugas media supaya sentiasa memakai pelitup muka ketika membuat liputan, selain menggunakan cecair pembasmi kuman dan menjaga kebersihan diri.
“Ingat, kita adalah petugas barisan hadapan dan setiap daripada kita mempunyai peranan penting dalam menyampaikan maklumat kepada orang ramai dan menjaga negara,” katanya.
Tambahnya, NUJM akan sentiasa bersama semua petugas media dalam memerangi Covid-19, #kitajagakita.
Sementara itu, Gerakan Media Merdeka (Geramm) pula mengambil maklum kerisauan yang turut sama bertugas di barisan hadapan dalam situasi peningkatan kes jangkitan Covid-19.
Katanya, selain dari terus mengamalkan kawalan kendiri, Geramm memohon kerjasama dari semua pihak, terutama pemimpin negara yang menjemput media bagi membuat liputan sesebuah acara agar mengambil maklum mengenai status kesihatan masing-masing.
“Sekiranya terdapat keraguan, penjelasan segera perlu diberikan agar langkah pencegahan dapat diambil oleh mana-mana pengamal media bertugas yang berisiko sebagai kontak rapat individu tersebut.
“Tidak dinafikan kesibukan pemimpin negara akhir-akhir ini secara tidak langsung telah meningkatkan risiko jangkitan, terutama jika terdapat rekod perjalanan ke daerah yang mencatatkan jumlah kes positif tinggi,” katanya menerusi kenyataan di laman Facebook Geramm.
Katanya lagi, seseorang pemimpin politik yang pulang dari Sabah dan sedang menjalani kuarantin disarankan mengemaskini status kesihatan, sama ada negatif atau positif daripada jangkitan Covid-19.
“Pemakluman status kesihatan mereka di media sosial membantu wartawan dan orang awam yang pernah berinteraksi dengan mereka.
“Geramm turut mengambil maklum seorang pengamal media yang pulang dari membuat liputan PRN Sabah telah disahkan positif Covid-19 dan dirawat di Hospital Sungai Buloh,” katanya.
Geramm turut berharap semua #kawangeramm yang sedang menjalani proses kuarantin setelah pulang dari Sabah akan terus bersabar sehingga tamat tempoh 14 hari, serta kekal selamat. – Malaysiapost

