PM kuarantin kendiri di rumah 14 hari

0
1

PERDANA Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kini menjalani kuarantin kendiri di kediaman selama 14 hari mengikut nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Katanya, hal itu bagaimanapun tidak akan mengganggu urusan kerajaan dan beliau akan terus bekerja dari rumah dan menggunakan sidang video bagi mesyuarat yang perlu dipengerusikannya.

“Sebagai langkah berjaga-jaga, saya juga melakukan ujian saringan pengesanan Covid-19 (ujian swab) setiap dua minggu sejak April 2020 dan kesemua ujian pengesanan ini disahkan negatif.

“Selain itu, saya telah melakukan tiga ujian pengesanan Covid-19 dalam tempoh tiga minggu lalu iaitu pada 22, 26 dan 29 September 2020 dan didapati negatif,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Perdana Menteri berkata, kuarantin kendiri perlu beliau jalani memandangkan beliau mempengerusikan Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, Sabtu lalu.

Perdana Menteri ketika mempengerusikan Mesyuarat Khas MKN Sabtu lalu

Beliau mengesahkan Dr Zulkifli disahkan positif jangkitan Covid-19 hari ini dan sedang menerima rawatan di sebuah hospital di Seremban.

“KKM telah menjalankan ujian saringan pengesanan Covid-19 ke atas semua ahli dan urus setia mesyuarat tersebut.

“Berdasarkan penilaian risiko oleh KKM, mereka yang dikenalpasti kontak rapat semasa mesyuarat telah diberi surat perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah (HSO) selama 14 hari dari tarikh 3 Oktober 2020 dan dipakaikan gelang pengawasan.

“Ahli mesyuarat yang bukan kontak rapat pula dinasihatkan menjalani kuarantin kendiri (self-quarantine) selama 14 hari bermula 3 Oktober 2020 hingga 16 Oktober dan memantau status kesihatan kendiri di rumah setiap hari menggunakan home assessment tool (HAT) dalam aplikasi MySejahtera,” katanya. – Malaysiapost